Penubuhan SBSA satukan pengamal bodyguard anak jati Sabah

Iklan
SBSA diwujudkan pada 1 April lalu sebagai platform rasmi bagi menghimpunkan pengamal kerjaya bodyguard, termasuk pegawai pengiring rapat orang kenamaan (Close Protection Officer), pengamal keselamatan korporat dan individu yang aktif dalam industri keselamatan di Sabah.

KOTA KINABALU – Penubuhan Sabah Bodyguard Specialist Association (SBSA) dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan industri pengawal peribadi di Sabah, khususnya dalam kalangan anak jati negeri itu yang terlibat dalam bidang keselamatan profesional.

Persatuan berkenaan diwujudkan pada 1 April lalu sebagai platform rasmi bagi menghimpunkan pengamal kerjaya bodyguard, termasuk pegawai pengiring rapat orang kenamaan (Close Protection Officer), pengamal keselamatan korporat dan individu yang aktif dalam industri keselamatan di Sabah.

Iklan
Iklan

Presiden SBSA, Mohd Yusof Abdullah berkata, persatuan itu ditubuhkan bukan sahaja untuk menyatukan komuniti bodyguard Sabah, malah menjaga kebajikan ahli serta membuka peluang pembangunan kerjaya dalam industri keselamatan.

Menurut beliau, SBSA juga berperanan melahirkan pengamal bodyguard yang profesional, beretika dan berdisiplin sejajar dengan keperluan industri keselamatan semasa.

Iklan

“SBSA diwujudkan untuk menjadi suara dan platform penyatuan kepada pengamal bodyguard anak jati Sabah. Selain menjaga kebajikan ahli, kami juga mahu melahirkan pengamal bodyguard yang profesional, beretika dan berdisiplin,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, SBSA kini mempunyai keahlian awal seramai 100 orang yang terdiri daripada pengamal bodyguard berpengalaman, bekas anggota keselamatan, pengiring peribadi sambilan serta individu yang aktif dalam bidang keselamatan.

Iklan

Beliau berkata, persatuan itu turut merancang pelbagai program termasuk aktiviti kemasyarakatan, latihan keselamatan, seminar profesionalisme dan kursus berkaitan industri pengawal peribadi.

Sebagai langkah permulaan, SBSA dengan kerjasama M&J Global Training & Services akan menganjurkan Kursus Bodyguard/Close Protection Operation (CPO) di Sabah pada Mei ini.

Menurut Mohd Yusof, pemilihan M&J Global Training & Services sebagai rakan strategik dan panel penyedia latihan dibuat berdasarkan pengalaman serta pengiktirafan syarikat itu dalam bidang latihan bodyguard di Malaysia.

Katanya, kursus berkenaan dijangka menjadi platform penting kepada anak jati Sabah yang berminat menceburi bidang bodyguard secara profesional selain membantu pengamal sedia ada meningkatkan kemahiran dan kompetensi mereka.

Penubuhan SBSA disifatkan sebagai perkembangan positif dalam memperkasakan industri bodyguard di Sabah serta membuka lebih banyak peluang kepada anak tempatan untuk terlibat secara profesional dalam bidang keselamatan dan close protection