Anak bunuh ibu, adik pada Hari Ibu gara-gara tanah pusaka

Iklan
Kedua-dua mangsa yang maut akibat ditembak oleh ahli keluarga sendiri dalam kejadian di India ketika dunia meraikan sambutan Hari Ibu. FOTO: NDTV

NEW DELHI - Sambutan Hari Ibu bertukar tragedi berdarah apabila seorang lelaki didakwa menembak mati ibu dan adik lelakinya sendiri dalam kejadian di Banda, Uttar Pradesh, India pada Ahad.

Memetik laporan NDTV, suspek dikenali sebagai Rajkishore Gupta dipercayai bertindak demikian selepas berang berhubung penjualan tanah pusaka keluarganya.

Iklan
Iklan

Suspek tidak berpuas hati apabila bapanya menjual tanah berkenaan tanpa persetujuannya sebelum bertindak menemui ibu dan adiknya di rumah mereka.

Pertengkaran dipercayai tercetus sebelum suspek tiba-tiba mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mangsa.

Iklan

Mangsa yang berlumuran darah dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Pegawai kanan polis, Palas Bansal berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tembakan itu sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Iklan

"Siasatan awal mendapati bapa suspek telah menjual tanah pusaka keluarga yang dibantah oleh suspek sehingga mencetuskan pertikaian dan membawa kepada kejadian ini," katanya.

Pasukan forensik turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mengumpul bahan bukti.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar untuk proses bedah siasat.

Suspek dilaporkan melarikan diri selepas kejadian dan polis telah menubuhkan empat pasukan khas bagi mengesannya.