BANGKOK - Permaisuri Thailand, Ratu Suthida menerbangkan sendiri pesawat diraja Boeing 737 yang membawa delegasi pulang ke Bangkok selepas mengadakan lawatan selama lapan hari ke Jepun.
Menurut media tempatan, Ratu Suthida, 48 menamatkan lawatannya pada 22 Oktober lalu selepas menghadiri beberapa acara sebagai Duta Global Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF).
Selepas menyelesaikan urusan rasmi, beliau bersama rombongannya berlepas ke sebuah lapangan terbang di Hokkaido sebelum mengambil alih tugas sebagai kapten pesawat bagi penerbangan selama lapan jam ke Bangkok sebelum mendarat di Lapangan Terbang Tentera Don Mueang.
Ratu Suthida turut menerbangkan delegasi berkenaan ke Jepun pada 14 Oktober lalu. Sejurus tiba, pegawai lapangan terbang dilaporkan terkejut apabila melihat beliau keluar dari kokpit sebelum memandu sendiri ke hotel di Sapporo.
Sebelum menyertai keluarga diraja, Ratu Suthida pernah berkhidmat sebagai pramugari di Thai Airways.
Beliau juga memiliki lesen juruterbang pengangkutan udara (ATPL) dan mempunyai pengalaman penerbangan melebihi 1,180 jam.
Pada awal Oktober lalu, baginda turut menjalani latihan penerbangan menggunakan pesawat pejuang JAS 39C Gripen milik Tentera Udara Diraja Thailand. - Agensi