Sekumpulan lelaki bersenjata lepaskan tembakan rambang, 58 terbunuh - Polis

Iklan
Sekurang-kurangnya 58 mayat ditemukan selepas sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang sebuah komuniti. Foto Agensi

ABUJA - Sekurang-kurangnya 58 mayat ditemukan selepas sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang sebuah komuniti di Taraba State, timur laut Nigeria, menurut polis pada Ahad, ketika operasi menyelamat masih diteruskan, lapor Xinhua.

Jurucakap polis Taraba State, Victor Mshelizah berkata, angka kematian akibat serangan pada Jumaat di komuniti Binnari, Kawasan Kerajaan Tempatan Karim-Lamido, meningkat kepada 58 selepas 15 mayat mangsa yang melarikan diri dari lokasi kejadian ditemukan pada Ahad.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan di kawasan belukar sekitar dan sungai susulan serangan yang berlaku ketika hari pasar mingguan komuniti berkenaan.

Menurutnya, sebuah sampan yang membawa mangsa ke komuniti berhampiran terbalik di tengah perjalanan akibat muatan berlebihan, sambil menambah bahawa lebih ramai mangsa dikhuatiri masih hilang.

Iklan

Menurut laporan media tempatan, anggota keselamatan pada awalnya menemukan lebih 40 mayat.

Kumpulan lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang ramai dalam serangan selama empat jam, membakar banyak rumah dan memaksa keluarga melarikan diri.

Iklan

Dalam satu kenyataan, kerajaan Taraba State memaklumkan bahawa pihaknya telah mula mengagihkan bantuan kepada mangsa yang terselamat dan keluarga terjejas.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu di negeri berkenaan yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan keganasan yang meragut nyawa, dikaitkan dengan pertempuran antara komuniti, kegiatan kumpulan penyamun bersenjata dan ketegangan etnik serta agama.- Bernama-Xinhua