ALOR SETAR – Sebanyak 152 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap individu yang didapati membuang sampah di kawasan tumpuan pelancong di Bukit Bintang sejak operasi penguatkuasaan dipertingkatkan bermula 1 Mei lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 68 notis dikeluarkan hanya dalam tempoh tiga hari sepanjang penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei lalu.
Menurutnya, operasi berfokus dilaksanakan bagi memastikan tahap kebersihan di kawasan pelancongan utama itu sentiasa terkawal khususnya ketika penganjuran acara berskala besar.
“Sebagai antara ikon pelancongan dan pusat aktiviti metropolitan utama negara, Bukit Bintang menerima kehadiran ribuan pengunjung tempatan serta antarabangsa setiap hari menerusi pelbagai penganjuran acara hiburan, komersial dan rekreasi berskala besar.
“Justeru, bermula 1 Mei, SWCorp telah menggandakan pelaksanaan operasi penguatkuasaan dan pemantauan kebersihan secara lebih intensif di sekitar kawasan tersebut bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa berada pada standard terbaik setara bandar raya bertaraf dunia,” katanya pada sidang akhbar pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pelaksanaan Hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ke-8 di Taman Rekreasi Gunung Keriang di sini.
Jelasnya, pendekatan penguatkuasaan terbuka turut dilaksanakan dan membolehkan orang ramai menyaksikan sendiri tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil.
Menurutnya, dalam situasi melibatkan kehadiran pengunjung berskala besar dan pergerakan awam yang tinggi, penguatkuasaan secara konsisten dan tanpa kompromi amat penting bagi memastikan tahap kebersihan awam kekal terkawal dan imej bandar terus terpelihara.
“Pendekatan ini bukan bertujuan mengaibkan, sebaliknya memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan awam,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata, Program PKM Siri Ke-8 dilaksanakan serentak di Kedah, Melaka, Pahang dan Johor melibatkan 55 pesalah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Di Kedah, seramai 24 pesalah termasuk penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi berusia antara 19 hingga 55 tahun menjalani hukuman khidmat masyarakat di Taman Rekreasi Gunung Keriang dan Pantai Cenang, Langkawi.
Menurutnya lagi, sejak pelaksanaan penguatkuasaan diperkasakan, sebanyak 6,000 NPK telah dikeluarkan di tujuh negeri melibatkan 4,347 warga tempatan dan 1,653 warga asing.
“Kesalahan paling kerap dikesan ialah membuang puntung rokok. Alasannya tetap sama, kononnya tiada tong sampah, sedangkan kemudahan telah disediakan di lokasi terbabit,” katanya.