Tidak adil dakwa ahli akademik pengecut - Hassan Karim

Iklan
Hassan

SHAH ALAM – Dakwaan ahli akademik negara bersikap pengecut adalah tidak adil kerana golongan tersebut berdepan sejarah panjang penindasan dan tekanan politik sejak puluhan tahun lalu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sikap berhati-hati dalam kalangan ahli akademik di negara ini bukan berpunca daripada kelemahan peribadi, sebaliknya terbentuk hasil pengalaman lampau melibatkan tindakan keras kerajaan terhadap golongan intelektual dan aktivis.

Iklan
Iklan

"Ahli akademik negara pernah berdepan suasana ketakutan akibat penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk penahanan tanpa bicara terhadap tokoh pemikir, ahli akademik dan aktivis masyarakat.

"Jadi tidak adil untuk melabel mereka sebagai pengecut tanpa memahami latar sejarah yang membentuk budaya berhati-hati itu," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam program audio siar 'Keluar Sekejap' mempersoalkan sikap ahli akademik sejarah yang berdiam diri terhadap penyebaran maklumat salah berkaitan sejarah negara.

Dalam pada itu Hassan menjelaskan, sejarah negara menunjukkan ramai tokoh intelektual menjadi mangsa tindakan politik hanya kerana menyuarakan pandangan kritikal terhadap pemerintah.

Iklan

Antara yang disebut beliau termasuk Syed Husin Ali, Ahmad Boestaman dan Syed Zahari yang pernah ditahan di bawah ISA.

Malah menurutnya, tokoh akademik seperti Allahyarham Profesor Emeritus Ahmat Adam juga berdepan tekanan apabila membangkitkan perbahasan ilmiah berkaitan sejarah Melayu dan historiografi negara.

"Hujah beliau mengenai Batu Bersurat Terengganu, Hang Tuah dan kelemahan historiografi rasmi bukan provokasi, tetapi sebahagian daripada tradisi ilmu dan perbahasan akademik.

"Namun suasana politik ketika itu menjadikan pandangan seperti ini berisiko dari sudut kerjaya dan keselamatan peribadi," ujarnya.

Dalam masa sama, veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mengakui Malaysia berdepan masalah penyelewengan fakta dan manipulasi naratif sejarah untuk kepentingan politik.

Bagaimanapun katanya, penyelesaian tidak boleh dilakukan dengan menyalahkan ahli akademik semata-mata tanpa melihat faktor yang membentuk budaya ketakutan dalam dunia intelektual negara.

"Kalau benar mahu ahli akademik lebih berani, negara mesti menjamin kebebasan akademik, menghentikan campur tangan politik dalam sejarah dan menghapuskan saki-baki budaya ISA.

"Ahli akademik yang berani sebenarnya sudah lama wujud, tetapi ramai antara mereka ditekan, dipinggirkan malah dipenjarakan," katanya.