DALAM dunia hiburan, tema halal jarang diketengahkan secara serius baik dalam drama mahupun filem.
Namun seorang anak seni yang aktif sejak 1980-an, Adam Corrie Lee Abdullah memilih jalan berbeza apabila menghasilkan drama pendek bersiri yang membawa mesej halal dalam kehidupan dan makanan.
Drama 15 episod itu yang disiarkan di platform media sosial selebriti itu bermula 19 Februari lalu itu mendapat sambutan luar biasa termasuk episod pertama yang mencecah lebih dua juta tontonan.
Artis yang lebih mesra disapa Adam Corrie itu berkata, beliau juga tidak menyangka drama bertajuk Pan Mee: Pertarungan Iman dan Rasa itu mendapat sambutan sedemikian rupa.
“Makanan merupakan antara medium terbaik untuk menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang.
“Kadang-kadang kita hendak berbaik dengan orang, tapi tidak tahu bagaimana jalannya. Jadi cara yang paling mudah dengan mengajak dia makan atau minum dan di situlah ukhuwah terjalin,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus pada Majlis Rumah Terbuka Kopihut di Terminal Bersepadu Gombak baru-baru ini.
Ubah haram jadi halal
Ujarnya, dalam drama tersebut, beliau yang membawa watak Ah Seng sering dikecam orang ramai kerana menjual pan mee yang kebiasaannya menggunakan bahan yang tidak halal.
“Ah Seng mengubah pan mee tersebut menjadi halal selepas menukar bahan mentah dan ramuan yang halal.
“Jadi semua orang boleh makan termasuk umat Islam,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, realiti industri makanan dan minuman (F&B) hari ini, ramai pelanggan lebih-lebih lagi umat Islam lebih mempercayai logo dan sijil halal.
“Sedangkan kalau seseorang itu Muslim atau mualaf macam saya, tidak perlu pun untuk mendapatkan sijil halal kerana sudah menjadi tanggungjawab usahawan Islam untuk menyediakan makanan halal.
“Namun jika ada sijil halal, pelanggan boleh terus masuk ke kedai tanpa banyak soal dan ia meyakinkan mereka,” katanya.
Halal merangkumi gaya hidup
Bercerita tentang halal, menurut Adam Corrie, halal bukan sekadar dari sudut makanan dan minuman semata-mata, malah ia jauh lebih luas merangkumi cara hidup, akhlak dan hubungan sesama manusia.
“Seseorang yang baru berhijrah atau kembali kepada ajaran Islam tidak wajar dihakimi dengan harapan dia menjadi Muslim sempurna serta-merta.
“Masyarakat kadang-kadang meletakkan jangkaan terlalu tinggi bila seseorang itu memeluk Islam, dia terus menjadi Muslim yang sempurna. Hakikatnya proses perubahan itu mengambil masa,” jelasnya.
Lebih menarik katanya, sebahagian daripada dialog dalam drama tersebut diambil daripada pengalaman hidupnya sendiri selepas bergelar mualaf.
Namun ketika dikritik dengan pelbagai tohmahan, Adam Corrie memilih untuk tidak menyimpan dendam dan sebaliknya menganggap kata-kata itu datang daripada mereka yang kurang memahami agama.
Drama vertikal yang diarahkan Adam Corrie bersama Ollyn Khadri itu dibintangi pelakon hebat seperti Kenji Sawahi, Shiela Mambo, Nam Rom, Jesse Lim, Izuan Razali dan Wan Gegau.
Adam Corrie yang berusia 57 tahun itu kini menceburkan diri dalam bidang F&B dengan membuka 19 restoran Kopihut sejak lebih setahun yang lalu.
“Niat utama saya sejak awal menceburi bidang F&B ini memang mahu menyediakan makanan halal kepada masyarakat termasuk mendapatkan sijil halal untuk semua premis Kopihut.
“Sebagai pengusaha, kita sepatutnya memandang serius berkaitan soal halal kerana ia merupakan amanah kepada pengguna Islam.
“Dan ia boleh menjadi jalan dakwah kepada bukan Muslim melalui bidang makanan ini,” katanya.