Yunnan: Gerbang industri halal China ke ASEAN

Iklan
PENULIS (tiga dari kanan) bersama pasukan Yunnan Halal Certification Services dan pegawai Jakim di Yunnan.

Kekuatan dalaman dan produk tempatan selain kerjasama kepakaran halal bersama Malaysia antara faktor menjayakannya

YUNNAN, sebuah wilayah yang terletak di barat daya China, mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai salah satu gerbang industri halal China ke pasaran Asia Tenggara (ASEAN).

Kedudukannya yang bersempadan dengan negara Myanmar, Laos dan Vietnam menjadikan wilayah ini strategik dalam menghubungkan China dengan rantau ASEAN.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, kewujudan komuniti Muslim yang telah bertapak sejak berabad lalu, kekuatan sektor pertanian serta kepelbagaian produk tempatan memberikan asas yang kukuh untuk pembangunan industri halal.

Kewujudan koridor logistik seperti Kunming Dry Port Express turut meningkatkan potensi Yunnan sebagai pusat pengedaran barangan.

Iklan

Kedudukan ini memberikan peluang kepada pengeluar tempatan untuk menjadikan Yunnan sebagai titik penghubung dalam membawa produk China ke pasaran ASEAN termasuk pasaran pengguna Muslim.

Potensi produk halal Yunnan

Iklan

Yunnan kaya dengan hasil pertanian dan sumber semula jadi seperti teh, herba, bunga, buah-buahan, rempah, makanan, ekstrak tumbuhan serta pelbagai ramuan makanan.

PELBAGAI produk tempatan dipamerkan di pusat halal di Yunnan.

Produk-produk ini mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai produk halal bernilai tinggi dan dipasarkan ke pasaran antarabangsa. Teh Yunnan misalnya, mempunyai reputasi di peringkat antarabangsa.

Selain itu, bahan berasaskan tumbuhan juga berpotensi dikembangkan kepada produk kesihatan, kosmetik dan ramuan makanan yang memenuhi keperluan pengguna Muslim.

Kekuatan komuniti Muslim

Yunnan juga mempunyai sejarah Islam yang panjang. Perkembangan Islam di wilayah ini menjadi lebih ketara sejak zaman Dinasti Yuan sekitar abad ke-13 melalui kehadiran pedagang, pentadbir, tentera dan ilmuwan Islam.

Sepanjang lebih lapan abad, komuniti Muslim telah membina masjid, pusat pendidikan, jaringan perniagaan dan institusi masyarakat. Muslim tempatan turut mempunyai tradisi menggunakan istilah “Qingzhen” dalam konteks makanan dan kehidupan masyarakat Islam.

YUNNAN turut bekerjasama dengan Jakim berkaitan industri halal.

Namun bagi perdagangan halal antarabangsa, penggunaan istilah atau identiti premis sahaja tidak mencukupi. Industri memerlukan sistem pensijilan yang tersusun, telus dan boleh dipercayai.

Peranan pensijilan halal

Dalam konteks ini, badan pensijilan halal mempunyai peranan penting untuk membantu pengeluar China memahami keperluan pasaran Muslim antarabangsa.

Proses audit, pensijilan, latihan dan pembangunan sistem jaminan halal dapat membantu syarikat meningkatkan keyakinan pengguna serta kesediaan untuk memasuki pasaran eksport.

Yunnan International Halal Services misalnya, berpotensi memainkan peranan penghubung antara pengeluar China dengan pasaran Muslim.

Kerjasama dengan Malaysia Malaysia mempunyai pengalaman yang luas dalam pembangunan standard, pensijilan dan ekosistem industri halal.

Kerjasama Malaysia–Yunnan boleh merangkumi latihan auditor, pembangunan prosedur, sistem jaminan halal serta pematuhan industri. Pada masa sama, syarikat Yunnan mempunyai peluang memanfaatkan pasaran Malaysia sebagai salah satu laluan ke pasaran ASEAN.

ROMBONGAN penulis dan pasukan Yunnan Halal Certification Services bersama komuniti Muslim di salah sebuah daerah Yunnan.

Gabungan kekuatan sumber, kapasiti pengeluaran China, kepakaran halal Malaysia dan kedudukan strategik Yunnan boleh mewujudkan hubungan yang lebih kukuh antara industri halal China dengan pasaran Muslim ASEAN.

Dengan pembangunan sistem pensijilan yang dipercayai, peningkatan kesedaran industri serta kerjasama rentas sempadan, Yunnan berpotensi muncul bukan sahaja sebagai pusat pengeluaran, tetapi sebagai gerbang strategik produk halal China ke pasaran Asia Tenggara dan dunia.

***AHMAD AMIRUL AZHAN RAMLAN merupakan Shariah Halal Auditor, Yunnan Halal Certification Services