JAKARTA – Pengasas sebuah pondok pesantren di Tlogowungu, Kabupaten Pati, Indonesia dikenali sebagai AS telah ditetapkan sebagai suspek selepas didakwa terbabit dalam kes serangan seksual terhadap pelajar perempuan di institusi berkenaan.
Menurut peguam kepada mangsa, Ali Yusron, jumlah mangsa yang terlibat dalam kes itu dipercayai jauh lebih besar berbanding laporan rasmi setakat ini, dengan anggaran mencecah 30 hingga 50 orang pelajar perempuan, majoritinya masih di bawah umur.
Setakat ini, hanya lapan mangsa telah membuat laporan rasmi kepada pihak polis, namun siasatan dijangka diperluas sekiranya terdapat mangsa lain tampil memberikan keterangan.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Pati memaklumkan, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dalam tempoh 2020 hingga 2024 di kawasan pondok pesantren berkenaan.
Mangsa didakwa dipanggil pada waktu malam untuk berada bersama suspek, dan mereka turut diugut akan dibuang daripada institusi sekiranya enggan menurut arahan.
Pihak polis menegaskan siasatan masih diteruskan dan bersedia meneliti sebarang bukti tambahan sekiranya terdapat lebih ramai mangsa tampil membuat aduan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa meminta agar maklumat yang tidak sahih tidak disebarkan bagi mengelakkan spekulasi dan kekeliruan dalam kes berkenaan.
Salah seorang mangsa mendakwa suspek pernah mengaku dirinya mempunyai keturunan agama tertentu dan menggunakan dakwaan tersebut untuk meyakinkan pelajar.
Sementara itu, Kementerian Agama Indonesia telah mengambil tindakan dengan menghentikan kemasukan pelajar baharu ke pondok pesantren berkenaan, manakala kerajaan tempatan turut membuka pusat aduan serta menyediakan bantuan kepada mangsa. - Agensi