SHAH ALAM - Keseimbangan dalam kehidupan pekerjaan merangkumi aspek fizikal, emosi, intelektual dan spiritual penting bagi memastikan kesejahteraan serta produktiviti yang mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia - Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, pendekatan '3-3-3' wajar dijadikan amalan bagi membantu pekerja mengurus beban tugas secara lebih tersusun, fokus dan berkesan.
"Pendekatan 3-3-3 ini membahagikan tugasan harian kepada tiga kategori utama iaitu kerja fokus, tugasan penting dan kerja penyelenggaraan harian.
“Dengan pengurusan yang baik, kita dapat mengelakkan keletihan melampau dan memastikan prestasi kerja kekal konsisten,” katanya ketika sesi taklimat bertajuk Pekerja Masa Hadapan: Adaptasi, Kompetensi dan Integriti.
Sesi tersebut berlangsung sempena majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini pada Isnin.
Tambah Nurhayati, pekerja masa hadapan perlu bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan dengan memperkukuh kemahiran teknologi, kemahiran insaniah serta nilai kemanusiaan.
Menurut beliau, dapatan World Economic Forum menunjukkan dunia kini semakin dikuasai teknologi namun masih terdapat jurang besar dari segi keupayaan manusia menguasai kemahiran yang diperlukan.
“Sekurang-kurangnya tiga perkara penting yang perlu kita pertingkatkan ialah kemahiran teknologi, soft skills dan human skills. Ini yang akan menentukan keupayaan kita untuk terus relevan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menekankan kejayaan seseorang pekerja bukanlah hasil usaha individu semata-mata sebaliknya terbina daripada sumbangan ramai pihak dalam ekosistem pekerjaan.
Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan kemahiran berfikir secara kritis, penyelesaian masalah dan komunikasi sebagai elemen utama kebolehpasaran pekerja menjelang tahun 2030.
“Kita berada di sini hari ini bukan kerana kita sahaja, tetapi kerana ada pekerja-pekerja lain yang menyumbang dalam pelbagai bentuk. Inilah keindahan konsep pekerja madani yang menjadi ‘bunga bangsa’ dan mencerminkan identiti negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Nurhayati mengingatkan rasuah tidak hanya terhad kepada bentuk fizikal seperti pemberian wang atau imbuhan tetapi turut melibatkan elemen tersembunyi seperti konflik kepentingan, kronisme dan nepotisme yang sering dinormalisasikan dalam organisasi.
“Apabila perkara salah dianggap biasa, kita gagal membetulkan keadaan. Jika ini berterusan, kita bukan sahaja kehilangan nilai integriti, malah berisiko kehilangan masa depan pekerjaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru setiap individu untuk menjadi ejen perubahan dengan menolak rasuah dalam apa jua bentuk serta berani menegakkan kebenaran.
Sementara itu, peserta, Pegawai Khidmat Pelanggan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Hamidah mohd taib, 53, berkata, sesi taklimat tersebut amat bermanfaat, dengan pengisian yang memberi panduan jelas kepada kita sebagai pekerja untuk meningkatkan usaha, sekali gus membentuk sikap kerja yang lebih cemerlang, berintegriti dan berkualiti.
Pembantu Tadbir Kewangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Rabiatul Aqilah Ramlee, 26, berpendapat sesi berkenaan memberi kefahaman mendalam tentang erti tanggungjawab sebagai pekerja, yang menuntut kesedaran, integriti dan amanah dalam setiap pelaksanaan tugas.
"Dalam pada itu, ia juga banyak menekankan kepentingan bekerja dengan ikhlas tanpa berkira kerana setiap cabaran akan lebih mudah dihadapi melalui kekuatan dan sokongan kerja berpasukan," katanya.
Manakala Penolong Pegawai Tadbir Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Suhana Surani, 51, berkata, perkongsian yang amat baik dengan penggunaan analogi yang dekat dengan realiti sehingga mudah difahami.
Beliau berharap generasi akan datang mampu mengubah landskap rasuah negara ini dan usaha menentangnya perlu dilakukan secara tegas dan berterusan.
"Kesedaran seperti ini wajar disemai sejak awal kepada anak-anak agar mereka memahami dan menghayatinya, seterusnya menjadi pemangkin yang mendorong golongan dewasa untuk lebih bertanggungjawab dan berasa malu melakukan kesalahan," katanya.