WASHINGTON– Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengeluarkan amaran keras terhadap Iran dengan menyatakan negara itu boleh “dihapuskan dari muka bumi” susulan serangan peluru berpandu dan dron ke atas kapal perang serta kapal komersial AS di Selat Hormuz.
Menurut laporan media AS, ancaman itu dibuat ketika ketegangan kembali memuncak walaupun gencatan senjata rapuh sebelum ini masih berkuat kuasa.
Serangan terbaharu menyaksikan Iran melancarkan beberapa peluru berpandu ke arah sekutu AS di Asia Barat, manakala sebuah kemudahan minyak utama di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan terbakar akibat serangan dron.
Pihak berkuasa UAE memaklumkan sistem pertahanan udara berjaya memintas sebahagian besar peluru berpandu, sementara satu lagi jatuh ke laut.
Dalam masa sama, dron Iran turut dilaporkan menyasarkan kapal komersial yang cuba melalui laluan strategik tersebut.
Tentera AS mendakwa berjaya melindungi beberapa kapal dagang daripada serangan, selain menenggelamkan beberapa bot laju Iran yang dianggap ancaman kepada keselamatan maritim.
Perkembangan itu berlaku selepas Washington melancarkan operasi mengiringi kapal minyak melalui Selat Hormuz menerusi misi dikenali sebagai 'Project Freedom', bagi membuka semula laluan perdagangan global yang terganggu sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu.
Namun, Teheran melalui Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memberi amaran bahawa sebarang kapal yang melanggar peraturan maritimnya akan dikenakan tindakan tegas.
Situasi tersebut menandakan risiko konflik berskala lebih besar semakin meningkat, dengan Selat Hormuz iaitu laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.
Krisis berpanjangan itu turut memberi kesan kepada ekonomi global apabila harga bahan api meningkat, manakala ratusan kapal masih terkandas akibat sekatan dan ketidaktentuan keselamatan di perairan berkenaan.-Agensi