Pembantu rumah ditahan, syaki letak anak majikan dalam sangkar anjing

Iklan
Kejadian dipercayai berlaku di kediaman berkenaan. - Agensi

HONG KONG - Seorang pembantu rumah ditahan polis selepas disyaki meletakkan dua kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya ke dalam sangkar anjing dalam dua kejadian berasingan.

Menurut laporan South Morning Post, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 28 April selepas ibu kanak-kanak berkenaan membuat laporan rasmi.

Iklan
Iklan

Ibu mangsa mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mereka yang menunjukkan dua anak lelakinya berusia dua dan tiga tahun berada di dalam sangkar anjing.

Kejadian pertama dipercayai berlaku pada 13 Februari ketika wanita itu tiada di rumah.

Iklan

Bagaimanapun, pada awalnya dia tidak membuat laporan kerana bimbang pembantu rumah berusia 32 tahun itu akan mencederakan anak-anaknya.

Namun pada 21 Februari, ketika dia sekali lagi tidak berada di rumah, rakaman CCTV menunjukkan salah seorang anaknya sekali lagi diletakkan di dalam sangkar anjing, manakala pembantu rumah dilihat berada berhampiran sambil menggunakan telefon bimbit.

Iklan

Susulan kejadian itu, ibu mangsa mendapatkan nasihat daripada agensi pekerjaan yang menguruskan pengambilan pembantu rumah berkenaan yang telah berkhidmat sejak Julai 2023.

Agensi terbabit menasihatkan wanita itu supaya membuat laporan polis sebelum aduan rasmi dibuat pada 28 April.

Polis kemudian menahan pembantu rumah terbabit atas syak wasangka kesalahan penganiayaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak atau orang muda.

Kedua-dua kanak-kanak terbabit telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal yang jelas.