Ibu hamil ditolak enam hospital di Seoul, bayi meninggal dunia

Iklan
Perkhidmatan ambulans di Seoul tidak boleh memindahkan pesakit ke Unit Kecemasan (ER) tanpa kelulusan hospital penerima. - Foto Agensi

SEOUL – Seorang wanita yang hamil 29 minggu telah dipindahkan dengan helikopter sejauh 280 kilometer (km) selepas enam hospital menolak pemindahannya hingga mengakibatkan kematian janin, menurut pihak berkuasa bomba Korea Selatan pada akhir minggu lalu.

Pada mulanya, dia dimasukkan ke klinik obstetrik di Cheongju, wilayah Gyeongsang Utara kerana pendarahan sebelum petugas perubatan menghubungi talian kecemasan 119 berikutan kadar degupan jantung janin menurun.

Iklan
Iklan

Enam hospital yang dihubungi menolak untuk menerima wanita tersebut atas alasan kekurangan pakar.

Sebuah helikopter akhirnya membawa wanita itu ke Hospital Universiti Donga di Busan kira-kira tiga jam setengah selepas panggilan pertama dibuat.

Iklan

Bayi yang dikandungnya bagaimanapun telah meninggal dunia ketika tiba di hospital, namun wanita tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan, perkhidmatan ambulans di Seoul tidak boleh memindahkan pesakit ke Unit Kecemasan (ER) tanpa kelulusan hospital penerima.

Iklan

Penolakan ini semakin kerap berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini, disebabkan oleh kekurangan kakitangan yang kronik dan kebimbangan kakitangan perubatan terhadap tindakan undang-undang jika pesakit meninggal dunia semasa dalam jagaan mereka.

Pada Februari lalu, seorang wanita hamil 28 minggu di Daegu yang menunjukkan tanda-tanda kelahiran pramatang juga telah ditolak oleh tujuh hospital tempatan sebelum dipindahkan ke sebuah hospital berhampiran Seoul sejauh lebih 230km.

Dia melahirkan anak kembar melalui pembedahan kecemasan, namun hanya seorang yang selamat. - Agensi