SEPANJANG minggu lalu, Merak Jalanan melihat pelbagai cerita bersilang dari padang bola hingga ke dunia hiburan dan teknologi.
Suasana yang berlaku seakan menggambarkan bagaimana rakyat semakin lantang bersuara apabila ada perkara yang dirasakan tidak seimbang antara keputusan dan realiti harian.
Isu boikot Ultras Malaya terhadap pasukan kebangsaan menjadi antara topik hangat. Ia hadir daripada rasa kecewa yang semakin lama terpendam dalam kalangan penyokong terhadap prestasi dan pengurusan bola sepak negara.
Bila suara penyokong mula keras kedengaran ia bukan lagi soal emosi semata mata tetapi isyarat bahawa ada sesuatu perlu diperbaiki jika mahu melihat Harimau Malaya kembali dihormati di rantau ini.
Sementara itu penganjuran Festival Rain Rave: Musical Festival turut mencuri perhatian apabila ia dikatakan membawa elemen hiburan yang melampau tidak bermoral serta bercanggah dengan norma masyarakat setempat.
Perdebatan yang timbul bukan sahaja soal hiburan tetapi juga tentang batas dan arah tuju acara yang ingin dibawa kepada khalayak khususnya golongan muda.
Dalam masa sama isu kenaikan harga konsol PlayStation (PS5) turut menjadi bahan bualan kerana ia memberi kesan kepada mereka yang mahu menikmati perkembangan teknologi semasa.
Apa pun Merak Jalanan melihat semua ini sebagai gambaran kecil kepada suasana besar negara yang sedang menyesuaikan diri dengan perubahan sama ada dalam sukan ekonomi atau gaya hidup harian.
Dalam semua perdebatan ini apa yang paling jelas ialah suara rakyat semakin sukar diabaikan.
Di stadium, media sosial atau kedai kopi, orang ramai mahu keseimbangan lebih adil antara dasar dan keperluan sebenar.
Kalau keseimbangan dicapai, banyak isu hari ini akan reda dengan sendirinya.