Tiga pokok tumbang di Hospital Kepala Batas, beberapa kenderaan rosak

Iklan
Beberapa kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di Bertam, Kepala Batas dalam kejadian ribut pada petang Khamis.

KEPALA BATAS – Tiga batang pokok tumbang di dalam kawasan Hospital Kepala Batas pada petang Khamis menyebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan insiden berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan APM, sepasukan anggota dari unit Kepala Batas bersama kekuatan seorang pegawai dan enam anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Setibanya di lokasi, didapati tiga pokok tumbang di dalam kawasan hospital dan beberapa kenderaan terlibat dalam kejadian tersebut.

Iklan

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya pada Khamis.

Pasukan APM kemudiannya menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan pokok bersama agensi lain termasuk pihak hospital serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Iklan

Dalam pada itu, beberapa lokasi lain di sekitar Kepala Batas turut dilaporkan mengalami kejadian pokok tumbang susulan ribut dan hujan lebat.

Beberapa buah rumah juga ditimpa pokok tumbang.

Antara lokasi terlibat ialah Jalan Dua, Titi Mukim, Jalan Bertam di Penaga, Jalan Padang Kelab serta kawasan Warung Pokok Rambutan di Jalan Perak.

Operasi melibatkan beberapa aset termasuk kenderaan utiliti dan lori APM bagi memastikan laluan terjejas dapat dibersihkan serta keselamatan awam terjamin.

Difahamkan, sehingga kini, 30 rumah mengalami kerosakkan dalam kejadian sama.

Bangunan BBP Kepala Batas juga rosak dalam kejadian tersebut.

Selain itu, bumbung salah sebuah bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Kadir di Bertam juga rosak teruk diterbangkan angin.

Dilaporkan, bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas turut rosak.