Program Repatriasi Migran 2.0 dilanjutkan hingga Mei 2027 - KP Imigresen

Iklan
Zakaria

PUTRAJAYA - Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 yang berakhir Khamis, dilanjutkan berkuat kuasa 1 Mei hingga 31 Mei 2027.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap pencapaian program dengan merekodkan jumlah pendaftaran tinggi, penghantaran pulang secara sukarela yang konsisten serta kutipan kompaun memberangsangkan, sekali gus menyumbang kepada pengurangan keberadaan pendatang tanpa izin di dalam negara.

Iklan
Iklan

"Bermula 19 Mei 2025 hingga 29 April 2026, PRM 2.0 telah merekodkan sebanyak 254,186 pendaftaran melibatkan pendatang tanpa izin daripada 112 negara, dengan jumlah kutipan hasil bernilai RM127 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pematuhan sukarela dalam pengurusan migrasi negara," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pelanjutan program berkenaan bertujuan memperluas pematuhan secara sukarela dalam kalangan pendatang tanpa izin di samping mempercepat proses penghantaran pulang secara tersusun serta mengoptimumkan pengurusan sumber penguatkuasaan negara.

Iklan

Pada masa sama, Zakaria berkata, Jabatan Imigresen Malaysia akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh dan berterusan melalui operasi bersepadu, risikan dan pemantauan di seluruh negara.

"Tindakan tegas akan diambil untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan menghantar pulang mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen termasuk majikan atau pihak melindungi mereka," katanya.

Iklan

Sehubungan dengan itu, Zakaria menyeru semua pendatang tanpa izin untuk tampil segera menyelesaikan status masing-masing melalui saluran yang sah sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

PRM merupakan mekanisme pengurusan pulang secara sukarela bagi pendatang tanpa izin yang dilaksanakan dalam kerangka pematuhan undang-undang imigresen.

Di bawah program itu, individu terlibat dikecualikan daripada pendakwaan tertakluk kepada syarat ditetapkan serta dikenakan kompaun mengikut kesalahan iaitu RM500 bagi kesalahan memasuki dan berada tanpa pas sah atau tinggal lebih masa, dan RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.

Pemohon turut dikenakan bayaran Pas Khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran sebagai dokumen sementara bagi melengkapkan urusan penghantaran pulang ke negara asal. - Bernama