HAK untuk berhimpun secara aman merupakan antara kebebasan yang dijamin undang-undang di negara ini.
Perkara itu termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara dan berkumpul secara terbuka.
Malah, melalui Akta Perhimpunan Aman 2012, sesuatu himpunan dibenarkan dengan syarat tertentu termasuk pemberitahuan awal kepada pihak polis serta pematuhan aspek keselamatan awam.
Kebebasan ini hadir bersama tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan, namun ironinya realiti di lapangan sering kali memperlihatkan pelaksanaan yang tidak selari dengan ketetapan undang-undang.
Jurang antara teori dan praktikal inilah yang menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan penganjuran himpunan di tempat terbuka.
Penulis yang berpeluang membuat liputan Himpunan Tangkap Azam Baki di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu menyaksikan sendiri bagaimana suasana yang terkawal turut diselit dengan ketegangan terutamanya ketika penghujung program.
Himpunan aman ini bagaimanapun dicemari insiden tidak dijangka apabila letupan mercun menggemparkan orang ramai di sekitar lokasi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan berhubung kejadian dijalankan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Menurutnya, usaha sedang dibuat untuk mengenal pasti individu yang terlibat serta mengesan dalang di sebalik insiden berkenaan.
Jelas beliau, pihaknya setakat ini tidak dapat mengesahkan sama ada insiden bakar mercun tersebut sabotaj atau sebaliknya.
Ujar beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Selain itu adegan 'pertempuran' dengan pihak berkuasa turut sama menjejaskan agenda serta hasrat himpunan yang mana berlakunya aksi tolak-menolak sehingga mencetuskan kekecohan.
Situasi itu jelas memperlihatkan bagaimana tindakan segelintir pihak mampu mencemarkan keseluruhan objektif himpunan.
Lebih membimbangkan, lokasi himpunan yang terletak di kawasan tumpuan orang ramai dan pelancong menjadikan insiden tersebut lebih sensitif.
Kuala Lumpur sebagai ibu negara seharusnya dipelihara daripada sebarang unsur ekstrem dan ganas dan sebagai nadi negara, imej ibu kota ini mencerminkan wajah Malaysia di mata dunia.
Beberapa individu yang mahu bercuti dan menikmati keindahan Kuala Lumpur ketika ditemui turut menyatakan rasa kesal dengan insiden yang berlaku.
Selain isu keselamatan, aliran trafik padat turut menjadi perhatian terutamanya melibatkan Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sememangnya sibuk menjadi semakin sesak.
Gangguan sebegini menimbulkan persoalan tentang keseimbangan antara hak berhimpun dan hak pengguna jalan raya.
Justeru, penganjuran himpunan di kawasan terbuka perlu dinilai secara lebih realistik dengan mengambil kira impak kepada persekitaran.
Penganjur tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada mesej yang ingin disampaikan, tetapi juga kesan terhadap masyarakat sekeliling.
Jika tidak diurus dengan baik, himpunan yang bertujuan menyuarakan kepentingan awam boleh bertukar menjadi gangguan kepada orang ramai.
Akhirnya, matlamat asal untuk menarik sokongan boleh tersasar apabila perhatian lebih tertumpu kepada kekecohan yang berlaku.
*Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki ialah Wartawan Sinar Harian