KOTA KINABALU - Tiada sebarang rundingan luar atau perancangan untuk menubuhkan pakatan baharu selepas Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mengikut jejak Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini.
Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi ke arah pembentukan kerjasama politik baharu melibatkan parti itu.
Bagaimanapun, beliau mengakui landskap politik sentiasa berubah dan sebarang kemungkinan boleh berlaku bergantung kepada perkembangan semasa.
"Setakat ini tiada, tetapi politik ialah seni segala kemungkinan. Apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Lawan boleh menjadi kawan, kawan boleh menjadi musuh dan sebagainya.
"Jadi semuanya bergantung kepada apa yang berlaku di sekeliling kita dan di dalam parti sendiri," katanya ketika ditemui pada Majlis Gala Tahunan 2026, di sini, pada malam Sabtu.
Jeffrey turut menegaskan hubungan beliau dengan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang masalah.
Mengulas kemungkinan mewujudkan pakatan baharu, beliau berkata perkara itu belum menjadi keperluan pada masa ini, namun soal penyatuan politik perlu dilihat secara terbuka.
"Saya tidak boleh komen setakat ini kerana mungkin belum ada keperluan. Tetapi jika kita bercakap tentang perpaduan, dari sudut politik ia adalah sesuatu yang sangat positif.
"Kita perlu melihat perkara itu secara terbuka. Namun apa manfaatnya, apa impaknya bukan sahaja kepada politik Sabah tetapi juga kepada ekonomi kita, perpaduan kita dan dasar-dasar yang ada, semuanya perlu diambil kira," katanya.
Pandikar Amin pada Rabu lalu mengesahkan bahawa partinya itu keluar meninggalkan GRS selepas mendapati sudah tidak wujud keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17)