Kes pembakaran terbuka di Terengganu membimbangkan - Bomba

Iklan
Orang ramai diingatkan bahawa aktiviti pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan undang-undang yang serius.

​KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kemusnahan harta benda serta pencemaran alam sekitar yang lebih serius.

​Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, sebanyak 1,420 kes kebakaran terbuka telah direkodkan di seluruh negeri bagi tempoh 1 Januari hingga Sabtu.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, statistik tersebut menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan dan memerlukan tindakan pencegahan segera daripada semua pihak.

​"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 1,121 kes melibatkan kebakaran belukar dan lalang, diikuti hutan (139 kes), kebun (16 kes) dan lain-lain kebakaran terbuka sebanyak 144 kes.

Iklan

​"Statistik ini menggambarkan risiko kebakaran yang tinggi bagi mengelak kejadian menjadi lebih serius dan tidak terkawal," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

​Mengulas mengenai taburan kes mengikut daerah, beliau mendedahkan Kuala Nerus kekal mencatatkan bilangan tertinggi dengan 252 kes, diikuti Kemaman (236 kes), Dungun (205 kes) dan Marang (204 kes).

Iklan

​Turut mencatatkan kes adalah daerah Besut (179 kes), Kuala Terengganu (168 kes), Setiu (144 kes) dan Hulu Terengganu (32 kes).

​Nor Mahathir menegaskan, pihaknya kini mengambil pelbagai inisiatif termasuk bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk membuat hebahan larangan di semua masjid dan surau seluruh negeri.

​Katanya, orang ramai diingatkan bahawa aktiviti pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan undang-undang yang serius.

​"Individu yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling.

​"Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM500,000, penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.