AMK cadangkan PN Perak tukar ketua pembangkang

Iklan
Ashraf Kahasani

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak mencadangkan agar Perikatan Nasional (PN) negeri menukar ketua pembangkang susulan dakwaan berulang kali mengemukakan kenyataan mengelirukan berhubung prestasi ekonomi Perak.

Ketua AMK negeri, Ashraf Kahasani berkata, tindakan itu wajar dipertimbangkan selepas Ketua Pembangkang, Razman Zakaria gagal memahami serta mentafsir data ekonomi dengan tepat ketika membahaskan isu Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Beliau mendakwa Perak sebagai negeri gagal berdasarkan sumbangan KDNK yang hanya berada pada kadar 5.2 peratus.

"Dakwaan ini bukan sahaja dangkal, malah menunjukkan kegagalan asas dalam memahami konteks ekonomi makro secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Jumaat.

Iklan

Ashraf berkata, lebih membimbangkan apabila berlaku kesilapan fakta berhubung nilai KDNK negeri apabila Razman pada awalnya menyebut angka RM8.9 bilion sebelum membetulkannya kepada RM82 bilion, sedangkan nilai sebenar adalah sekitar RM86.2 bilion.

“Kesilapan berulang ini mencerminkan kecuaian dalam menyemak fakta sebelum membuat kenyataan umum,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, AMK Perak menyokong ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menjawab isu berkenaan secara matang dan berasaskan fakta.

Menurutnya, walaupun Perak bukan negeri teratas dari segi pelaburan, kedudukannya di tangga keenam di belakang negeri seperti Pulau Pinang menunjukkan prestasi yang kompetitif dan stabil.

Tambah beliau, pencapaian itu juga dilihat lebih baik berbanding beberapa negeri lain di bawah pentadbiran pembangkang.

Ashraf turut menjelaskan bahawa KDNK Perak menunjukkan peningkatan positif apabila berkembang daripada 2.7 peratus pada tahun 2023 kepada 4.4 peratus pada tahun 2024.

“Ini membuktikan trajektori pemulihan ekonomi yang kukuh walaupun berdepan tekanan inflasi global, risiko kemelesetan serta ketidaktentuan ekonomi antarabangsa,” katanya.