KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan ahli Dewan Negara Perak dan pembesar istana supaya memberikan perhatian kepada golongan yang memerlukan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta keluarga yang kesempitan hidup.
Baginda bertitah, pembesar istana hendaklah sentiasa dekat dengan rakyat, memahami kehidupan mereka serta mendengar keluhan yang memerlukan perhatian.
Menurut baginda, rakyat tidak seharusnya berasa takut atau terhalang untuk menyampaikan masalah, sebaliknya perlu disantuni dengan penuh hormat.
"Peliharalah hubungan yang baik dengan semua lapisan masyarakat. Negeri ini didiami oleh rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
Baginda bertitah demikian sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-175 di Istana Iskandariah di sini pada Khamis.
Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sultan Nazrin turut mengingatkan ahli Dewan Negara dan pembesar istana supaya tidak menyalahgunakan nama Raja, pengaruh istana atau gelaran yang disandang untuk mendapatkan keuntungan peribadi, mencari laba dan peluang perniagaan atau membantu pihak tertentu secara tidak wajar.
Baginda menegaskan bahawa kedudukan yang dikurniakan tidak boleh digunakan untuk meminta keistimewaan, mengumpulkan kekayaan atau mencampuri urusan di luar bidang tanggungjawab masing-masing.
"Jauhilah rasuah, jauhi salah guna kuasa dan jauhi sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan serta boleh mencemarkan nama baik takhta dan istana," titah baginda.
Dalam titahnya, baginda turut mengingatkan bahawa kesetiaan kepada Raja menuntut keikhlasan hati dan keberanian untuk menyampaikan pandangan yang benar, bukannya sekadar mengiyakan setiap perkara atau menyampaikan sesuatu yang menyenangkan pendengaran.
Jelas baginda, keberanian menyatakan kebenaran dengan adab dan niat yang ikhlas merupakan tanda kesetiaan yang tinggi nilainya serta membantu Raja membuat keputusan yang adil, tepat dan bijaksana.
"Beta memerlukan ahli Dewan Negara dan para pembesar istana yang berani menasihati dengan hikmah, menegur dengan adab, serta mengemukakan pandangan berdasarkan ilmu dan fakta.
"Jika sesuatu perkara itu baik, nyatakanlah kebaikannya. Jika terdapat kelemahan atau risiko, jelaskanlah dengan jujur dan bertanggungjawab," titah baginda.