KOTA BHARU – Sembilan kes kebakaran direkodkan di seluruh Kelantan dalam tempoh 12 jam bermula 8 malam Khamis hingga 8 pagi Jumaat.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, daripada jumlah itu, majoriti insiden melibatkan kebakaran belukar selain kebakaran longgokan kayu, pokok buluh dan rumput di beberapa daerah.
Antara lokasi terlibat ialah di Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Dabong, Gua Musang, Tumpat, Kota Bharu di kawasan Salor, Wakaf Bharu dan Bachok.
Mengikut laporan, kebakaran pertama dilaporkan berlaku pada jam 8.23 malam di Kampung Jerat Semata, Pasir Puteh membabitkan kawasan belukar diikuti beberapa kejadian lain dalam sela masa singkat di daerah berbeza.
Selain itu, kebakaran longgokan kayu turut berlaku di kawasan perindustrian Tanah Merah sekitar jam 8.34 malam manakala kebakaran pokok buluh dilaporkan di Kampung Salor, Kota Bharu pada jam 10.14 malam.
Kebakaran terakhir dalam tempoh tersebut direkodkan pada jam 12.10 tengah malam di Kampung Sri Sentosa, Bachok yang melibatkan kebakaran rumput berhampiran sebuah stesen minyak.
Bagaimanapun, semua kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa atau kecederaan.
Secara keseluruhan, JBPM Kelantan menerima 10 panggilan kecemasan dalam tempoh sama termasuk satu kes menyelamat menjadikan jumlah keseluruhan insiden yang ditangani sebanyak 10 kes.
Sehingga kini, pihak bomba terus memantau keadaan semasa terutama risiko kebakaran terbuka susulan cuaca panas dan kering yang boleh mempercepatkan penularan api.