KUALA KEDAH – Penduduk di Seberang Kota, di sini merayu pihak berkuasa dapat segera mengambil tindakan dengan menyediakan laluan khas kepada nelayan yang terpaksa melalui kawasan perkuburan Islam lama bagi ke bot masing-masing.
Kawasan perkuburan berusia lebih 100 tahun itu dipercayai menempatkan ribuan jenazah sejak pembukaan kampung berkenaan sekali gus menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat setempat.
Pengerusi Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim berkata, isu berkenaan telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi mengelakkan orang ramai memijak kawasan kubur.
Menurutnya, sebanyak 28 jenazah sebelum ini telahpun dipindahkan ke tanah perkuburan baharu bagi membuka laluan di bahagian hujung kawasan tersebut bagi kegunaan para nelayan untuk ke laut.
“Namun di tanah perkuburan lama ini masih terdapat banyak kubur. Kita mohon pihak berwajib membantu membina laluan khas atau titi untuk kegunaan nelayan dan orang awam. Nelayan terutamanya setiap hari terpaksa memijak kawasan kubur untuk ke bot masing-masing.
“Ini tanah wakaf dan tempat pengebumian orang Islam, jadi perlu ada penyelesaian segera bagi menjaga kesuciannya,” katanya pada Jumaat.
Tambahya, keadaan kubur lama sebahagiannya dipercayai wujud sejak kurun ke-18 dan sebahagian kawasan itu ditenggelami air setiap kali berlaku air pasang besar.
Sementara itu, seorang nelayan yang juga Ahli Jawatankuasa Al Maarufi Seberang Kota, Japarudin Jaafar, 57, berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan laluan tersebut bagi meneruskan aktiviti harian.
Menurutnya, mereka mengakui tidak selesa untuk memijak kawasan perkuburan berkenaan setiap hari namun tidak mempunyai pilihan lain.
“Kami memang terpaksa lalu di atas kawasan kubur untuk ke bot. Kalau boleh, kami minta dibina jambatan terus ke kawasan bot supaya tidak lagi memijak kubur.
“Kubur ini milik nenek moyang kami juga, jadi kami sendiri rasa tidak selesa,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk yang juga penjaga tanah perkuburan lama itu, Shafie Md Isa, 72, berkata, dia sering menegur orang ramai agar tidak melalui kawasan tersebut, namun mengakui tiada alternatif laluan lain.
Menurutnya yang telah menjaga kawasan itu sejak 15 tahun lalu, masih banyak lagi kubur lama di sini namun hampir keseluruhannya sudah tidak bertanda.
“Di hadapan kawasan kubur lama ini telahpun dipasangkan pagar berdekatan dengan Pasar Nelayan Seberang Kota namun orang luar tidak tahu ini adalah tanah wakaf kubur lama,” katanya.