Kebakaran Sandakan: Tetap bersekolah biarpun berselipar, berpakaian biasa
Iklan
Nurmazehra (kiri) dibantu kakaknya, Norhana mengisi borang permohonan bantuan persekolahan ketika ditemui di Pusat Pemindahan Mangsa Kebakaran di Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Gas. Foto Bernama
SANDAKAN - Tragedi kebakaran Kampung Bahagia di sini, sedikit pun tidak melunturkan semangat seorang remaja, Nurmazehra Moamal, 14, untuk meneruskan persekolahan walaupun hanya berpakaian biasa dan berselipar selepas semua keperluannya musnah dijilat api.
Kakaknya Nurhana, 26, mengakui sebak melihat kegigihan adiknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, untuk terus menuntut ilmu walaupun keluarga mereka tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian berkenaan.
Iklan
Iklan
"Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan khas RM300 untuk murid terjejas kebakaran, saya sangat bersyukur atas keprihatinan pemimpin nombor satu negara ini yangg meringankan beban ditanggung mangsa.
"Kami keluar rumah sehelai sepinggang, baju sekolah adik semua terbakar. Dengan bantuan ini adik boleh beli baju, kasut sekolah, buku, adik ke sekolah dengan menaiki bas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gas di sini.
Iklan
Anwar sebelum ini mengumumkan bantuan RM300 diberikan kepada 454 pelajar warganegara Malaysia yang terjejas kebakaran Kampung Bahagia membabitkan 12 sekolah.
Selain itu, Nurhana berharap kerajaan mempertimbangkan memberi bantuan bina semula rumah di tapak kebakaran.
Iklan
"Tiada perancangan lain, jika pusat pemindahan ini ditutup selepas ini, kami kembali ke Kampung Bahagia, ada khemah dibuka di sana, kami akan tinggal di sana,” katanya.
Maya Imbi, 37, pula menyifatkan pemberian bantuan khas RM300 untuk mangsa kebakaran yang bersekolah membuktikan kerajaan pada hari ini berjiwa besar kerana bantuan diberikan itu menyeluruh.
Maya melipat baju seragam sekolah anaknya yang disumbangkan oleh pihak sekolah ketika ditemui di Pusat Pemindahan Mangsa Kebakaran di Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Gas. Foto Bernama
"Terima kasih kepada Perdana Menteri. Ini meringankan beban untuk saya yang memiliki dua anak berumur 12 tahun dan 10 tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gas  untuk membeli kelengkapan belajar mereka.
"Anak-anak saya juga ada menerima sumbangan termasuk bantuan pakaian sekolah, buku, pensel  selain beg daripada guru-guru di Sekolah Kebangsaan Gas pada Isnin lepas,” katanya.
Zamri Abdurasul, 23, pula menyifatkan Perdana Menteri sebagai seorang prihatin kerana turun sendiri ke Sabah dan melihat kesusahan mangsa kebakaran di PPS sekali gus  mengumumkan bantuan khas termasuk persekolahan.
"Ramai yang tidak sempat menyelamatkan barang termasuk barang sekolah, saya ada tiga anak buah berumur 16, 9 dan 8 tahun masih bersekolah, namun kesemua kelengkapan sekolah musnah dalam kebakaran.
"Duit itu nanti boleh beli pakaian sekolah termasuk buku. Keadaan kebakaran itu cukup huru hara, ramai panik, saya juga cuba tolong roboh rumah,  roboh jambatan cegah api dari merebak, saya tolong siram air, angkat barang, tapi rumah saya juga terbakar,” katanya.
Zamri berkata, keadaan rumah rapat serta faktor angin kuat ketika itu menyumbang kepada api merebak dengan cepat.
Alfitri. Foto Bernama
Pelajar lelaki Tingkatan Empat SMK Batu Sapi, Alfitri Abdullah, 16, bersyukur atas pemberian bantuan khas RM300 oleh kerajaan untuk pelajar terjejas kebakaran.
"Ketika kejadian, saya belum tidur dan terdengar bunyi bising kebakaran, lalu saya  mengejutkan nenek untuk bangun tidur dan menyelamatkan diri, selepas itu saya mengangkat barang  rumah keluar,  tetapi saya lupa barang keperluan ke sekolah,” katanya.
Pada Ahad lepas, sebanyak 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Bahagia di sini sekali gus menyebabkan ribuan penduduk terjejas. - Bernama
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu melibatkan pampasan kepada 41 lot yang terkesan, termasuk struktur premis yang perlu diambil bagi membolehkan projek pelebaran jalan sepanjang 1.5 kilometer dilaksanakan.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/789730/edisi/sabah-sarawak/rm17-juta-untuk-tanah-pampasan-projek-naik-taraf-jalan--alexander
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.