Tekong warga Myanmar bawa PATI rentas Kelantan-KL demi upah RM300 seorang

Iklan
Suspek yang memandu kereta jenis Perodua Bezza bersama PATI dipercayai datang dari arah Rantau Panjang menghala ke Panglima Bayu ditahan untuk pemeriksaan. Foto PGA

TANAH MERAH – Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai bertindak sebagai tekong darat diberkas selepas didapati membawa enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dengan upah RM300 bagi setiap individu.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan dalam Op Taring Wawasan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lalang Pepuyu di sini kira-kira jam 4 pagi pada Selasa.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek yang memandu kereta jenis Perodua Bezza datang dari arah Rantau Panjang menghala ke Panglima Bayu ditahan untuk pemeriksaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati enam penumpang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga Myanmar gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Iklan

"Suspek utama yang bertindak sebagai pemandu dan tekong darat turut ditahan kerana disyaki membawa masuk serta mengangkut PATI ke destinasi ditetapkan.

"Siasatan awal mendapati suspek menerima arahan melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Khu Lin’ yang dipercayai tinggal di Pudu, Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Hasil pemeriksaan mendapati enam penumpang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga Myanmar gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah. Foto PGA

Ujar beliau, suspek mengaku mengambil semua PATI berkenaan di hadapan sebuah pasar raya di Kota Bharu sebelum dihantar ke Pasar Borong Pudu, Kuala Lumpur.

Tambahnya, seorang daripada PATI itu dipercayai akan dihantar ke kawasan Gua Musang manakala selebihnya dibawa ke ibu negara.

"Suspek mendakwa menerima bayaran RM300 bagi setiap orang bergantung kepada permintaan dan jarak perjalanan.

"Dia juga mengaku pernah melakukan kegiatan sama antara tiga hingga empat kali sebulan," ujarnya.

Ahmad Radzi memberitahu, pihaknya turut merampas sebuah Perodua Bezza serta tiga telefon bimbit dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM48,500.

Menurut beliau, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.