[VIDEO] Pekerja kilang tidak mengaku salah guna kad kredit rakan

Iklan

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan menyalah guna kad kredit rakan sendiri, bulan lalu.

Muhammad Afiq Mohd Alfian, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Faezahnoor Hassan.

Iklan
Iklan

Muhammad Afiq yang memakai baju T berbelang hitam putih, dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyalahgunakan kad kredit AEON Credit milik seorang lelaki berusia 23 tahun dengan nilai transaksi sebanyak RM1,099 di AEON Credit Service (M) Sdn Bhd, Bangsar South City, pada 6 Mac lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Iklan

Bagaimanapun, peguam, Syarifah Syifa Syed Baharom yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja di kilang serta pernah menjalani pembedahan di bahagian kepala.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Faezahnoor membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.