TH anjur bacaan Yasin mohon kelancaran operasi haji

Iklan
TH menganjurkan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di Surau Hotel Zaha Taiba sebagai usaha memohon keberkatan, kelancaran serta kejayaan operasi haji musim ini.

MADINAH - Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di Surau Hotel Zaha Taiba sebagai usaha memohon keberkatan, kelancaran serta kejayaan operasi haji musim 1447H/2026M.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 40 petugas haji TH yang kini berada di Madinah bagi melaksanakan persiapan awal menyambut ketibaan jemaah haji Malaysia.

Iklan
Iklan

Program dimulakan dengan solat Maghrib dan solat hajat secara berjemaah sebelum diteruskan dengan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Pengurus Bimbingan dan Ziarah Madinah, Al-Fadhil Ustaz Mohamad Zahir Husin.

Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun turut menyampaikan amanat ringkas kepada para petugas sebagai pembakar semangat dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang musim haji kali ini.

Iklan

Beliau berkata, seluruh petugas perlu melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, disiplin dan komitmen tinggi demi memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara.

“Setiap tugasan yang digalas merupakan tanggungjawab besar dan perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan urusan jemaah berjalan lancar sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

Iklan

Majlis turut diisi dengan tazkirah rohani yang disampaikan oleh Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS), Al-Fadhil Ustaz Saiful Nizam.

Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen TH bukan sahaja dalam aspek pengurusan operasi, malah turut menitikberatkan pengisian rohani dalam kalangan petugas bagi menghadapi musim haji tahun ini.