Polis tembak mati penyerang lepaskan tembakan rambang, enam awam maut

Iklan
Polis menjalankan siasatan terhadap insiden tembakan yang mengorbankan nyawa enam orang awam di Ukraine. Foto Agensi

KYIV – Polis Ukraine menembak mati seorang lelaki yang melepaskan tembakan rambang di daerah Holosiivskyi pada Sabtu, lapor Reuters.

Difahamkan, enam individu terbunuh dalam insiden itu manakala beberapa lagi cedera.

Iklan
Iklan

Suspek berusia 58 tahun merupakan penduduk tempatan bertindak menembak orang awam di jalanan sebelum mengambil beberapa individu sebagai tebusan di sebuah pasar raya berhampiran.

Menteri Dalam Negeri Ukraine, Ihor Klymenko berkata, suspek kemudiannya ditembak mati dalam pasar raya berkenaan selepas berbalas tembakan dengan pihak polis, namun motif serangan masih belum dikenal pasti.

Iklan

Jumlah sebenar mangsa juga masih belum dipastikan, namun Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko memaklumkan sekurang-kurangnya 15 individu cedera, dengan 10 daripadanya termasuk seorang kanak-kanak dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut Klitschko, kebanyakan mangsa yang maut ditembak di jalanan, manakala seorang wanita berusia lingkungan 30 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Iklan

Klymenko berkata, pasukan perunding polis berusaha berunding dengan suspek kira-kira 40 minit ketika lelaki itu berada di dalam pasar raya, namun menyifatkan tindakannya sebagai tidak menentu.

“Kami cuba memujuknya kerana terdapat mangsa yang cedera di dalam premis itu.

"Kami turut menawarkan bantuan seperti membawa alat menghentikan pendarahan, namun dia tidak memberi sebarang respons,” katanya.

Menurutnya, arahan untuk menamatkan ancaman terpaksa diberikan selepas suspek membunuh salah seorang tebusan.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memaklumkan empat tebusan berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut.