Iran beri amaran akan tutup Selat Hormuz jika sekatan AS berterusan

Iklan
Iran memberi amaran pihaknya akan menutup Selat Hormuz semula jika sekatan AS terhadap pelabuhan Iran berterusan.

TEHERAN - Iran memberi amaran pihaknya akan menutup Selat Hormuz semula jika sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap pelabuhan Iran berterusan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

"Dengan penerusan sekatan, Selat Hormuz tidak akan kekal dibuka," menurut catatan speaker parlimen Iran Mohammad-Bagher Ghalibaf di platform media sosial X awal Sabtu.

Iklan
Iklan

Beliau menambah, transit melalui laluan air, yang penting untuk pasaran minyak dan gas global itu, akan berlaku di sepanjang"laluan yang ditetapkan" dan dengan"keizinan Iran."

Selepas beberapa minggu sekatan akibat serangan AS-Israel terhadap Iran, kepimpinan di Teheran pada Jumaat menyatakan kapal tangki minyak dan kapal komersial boleh melalui Selat Hormuz semula semasa gencatan senjata.

Iklan

Presiden AS, Donald Trump turut mengumumkan pembukaan semula selat itu namun berkata AS akan mengekalkan sekatan tentera lautnya sendiri, yang hanya terpakai pada kapal yang datang ke dan dari Iran.

Catatan Trump di rangkaian Truth Social bahawa sekatan AS akan kekal"sehingga kesimpulan penuh perjanjian kami dengan Iran" mencetuskan kemarahan di Tehran.

Iklan

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmail Baghaei turut memberi amaran kepada AS.

Menurut agensi berita Tasnim, beliau berkata, sekatan tentera laut itu merupakan pelanggaran gencatan senjata dan akan mendorong tindak balas sewajarnya daripada Iran.

Ghalibaf menyatakan bahawa sama ada selat itu dibuka atau ditutup, dan peraturan yang mengawalnya, akan ditentukan di lapangan,"bukan dengan media sosial." - Bernama-dpa