Pekerja katering campak budak dalam relau panas kerana kerap ambil manisan

Iklan
Mangsa dicampak dalam relau tanah liat hingga mengalami kecederaan. Gambar hiasan

BASTI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan parah selepas dipercayai dicampak ke dalam relau tanah liat yang sedang menyala oleh seorang pekerja katering dalam satu majlis perkahwinan di daerah Basti, Uttar Pradesh, pada Rabu lalu.

Mangsa dikenali sebagai Chaman, mengalami kecederaan melecur serius dari bahagian muka hingga ke pinggang selepas kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

Difahamkan, insiden berlaku apabila kanak-kanak itu berulang kali mengambil manisan rasgulla yang disediakan di kawasan hidangan.

Menurut saksi, pekerja katering terbabit berang dengan tindakan mangsa sebelum menangkap dan mengugutnya.

Iklan

Dalam keadaan tegang itu, mangsa dipercayai diangkat dan dibawa berhampiran relau tanah liat itu yang sedang membara sebelum terjatuh ke dalamnya.

Orang ramai yang berada di lokasi segera bertindak selepas mendengar jeritan mangsa dan berjaya mengeluarkannya daripada relau, namun ketika itu dia telah mengalami kecederaan serius.

Iklan

Mangsa kemudian dikejarkan ke Kolej Perubatan Ayodhya untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Kolej Perubatan Lucknow berikutan tahap kecederaan yang kritikal.

Keadaannya dilaporkan masih serius dan sedang menerima rawatan lanjut.

Chaman merupakan anak kepada Santosh dari daerah Gonda dan kini tinggal bersama saudara sebelah ibunya di Basti selepas kematian ibunya.

Dia dilaporkan sedang bersekolah di Tahun Dua.

Susulan kejadian, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang pekerja katering yang masih belum dikenal pasti dan kini sedang giat dikesan.

Pegawai Polis, Swarnima Singh, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa operasi memburu suspek sedang dijalankan bagi memastikan tangkapan dapat dibuat dalam masa terdekat.