Platform dalam talian didakwa tipu maklumat, jual kereta potong sambung

Iklan
Kim Fok (kiri) dan Frankie menunjukkan gambar membuktikan kereta Toyota Camry yang dibeli pernah terlibat kemalangan serius.

KUANTAN- Seorang peniaga mendakwa tertipu dalam urusan jual beli kereta melalui sebuah platform dalam talian selepas kereta jenis Toyota Camry yang dibeli kira-kira empat tahun lalu rupanya kereta potong.

Pang Kim Fok, 73, yang juga peniaga kereta terpakai berkata, dia membeli kereta itu pada harga RM25,100 secara tender untuk dijual kembali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bidaan untuk kereta itu dilakukan secara dalam talian berdasarkan laporan pemeriksaan semata-mata tanpa melihatnya secara fizikal.

"Saya tertarik dan berminat untuk membidanya selepas laporan pemeriksaan dikemukakan menunjukkan kereta itu dalam keadaan baik dengan rekod kemalangan kecil.

Iklan

"Selepas menerima kereta tersebut, ia tersimpan selama dua tahun selepas gagal mendapat pembeli," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar kes itu bersama Persatuan Peniaga Motor dan Kredit (FMC) Pahang di sini pada Khamis.

Kim Fok berkata, pada Julai 2024, dia menghantar kereta itu untuk pemeriksaan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) selepas ada pelanggan berminat untuk membelinya.

Iklan

"Malangnya, berdasarkan laporan dikeluarkan, keputusan pemeriksaan gagal kerana terdapat kesan potong dan sambung pada beberapa bahagian kerangkanya sedangkan ia belum pernah digunakan di atas jalan raya sebaliknya hanya simpan di rumah selepas dibeli.

"Pemeriksaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mengesahkan struktur kenderaan itu tidak selamat digunakan di jalan raya dan tidak mematuhi Kaedah 94, Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (pembuatan dan penggunaan) 1959," katanya.

Tambahnya, hasil semakan melalui sebuah laman sesawang, status sebenar kereta itu pernah terlibat kemalangan serius dengan 11 tuntutan insuran antara Jun 2017 hingga November 2019.

"Bermakna, pihak platform jual beli kereta dalam talian itu telah menipu dengan menjual kenderaan haram yang tidak sesuai untuk digunakan di atas jalan raya," katanya.

Kim Fok berkata, laporon polis telah dibuat bagaimanapun sehingga kini dia gagal mendapat pembelaan sewajarnya malah pihak penjual juga enggan bertqnggungjawab dan lepas tangan.

Sementara itu, Setiausaha FMC Pahang, Frankie Wong Fok Kong berkata, ada dalam kalangan peniaga kereta terpakai termasuk ahli persatuan itu mendapatkan stok dari platform tersebut.

"Perkembangan ini agak membimbangkan kerana ada kemungkinan ramai lagi yang pernah mengalami nasib sama namun enggan melaporkan.

"Kita tidak pasti kejadian sebenar sama ada ia satu taktik licik platform tersebut atau sebaliknya," katanya.

Bagaimanapun dia menasihatkan ahli FMC Pahang dan peniaga kereta terpakai lain agar segera menghantar pemeriksaan ke Puspakom selepas menerima kereta yang dibeli secara dalam talian bagi mengelak kejadian serupa berlaku.