Port gelandangan penuh sampah dibersihkan, 8 ditahan

Iklan
Operasi dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tindakan rutin MBI, selain mengambil kira aduan awam berkaitan kehadiran gelandangan di kawasan terbabit.

IPOH - Kawasan penempatan gelandangan di sekitar Jalan Dato Onn Jaafar dan Jalan Foo Yet Kai di sini didapati berada dalam keadaan tidak terurus apabila dipenuhi timbunan sampah dan barangan terpakai sehingga menjejaskan kebersihan persekitaran awam.

Keadaan itu dikesan menerusi Operasi Bersepadu Menangani Gelandangan yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada Selasa.

Iklan
Iklan

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, hasil pemantauan semasa operasi mendapati lokasi berkenaan turut dijadikan tempat tinggal sementara dengan terdapat tilam, pakaian yang disidai serta pelbagai barangan dikutip oleh golongan gelandangan.

Hasil pemantauan semasa operasi mendapati lokasi berkenaan turut dijadikan tempat tinggal sementara dengan terdapat tilam, pakaian yang disidai serta pelbagai barangan dikutip oleh golongan gelandangan. Foto MBI

Iklan

“Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan imej bandar raya, malah menimbulkan isu kebersihan dan keselamatan awam yang perlu ditangani segera secara bersepadu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, seramai 24 anggota terlibat dalam operasi selain bantuan logistik dua lori dan sebuah van.

Iklan

“Selain penguatkuasaan, kita turut melaksanakan kerja pembersihan dan sanitasi secara menyeluruh di lokasi terlibat bagi memastikan kawasan awam kembali bersih dan selamat digunakan orang ramai,” katanya.

Zamakhshari berkata, dalam operasi tersebut, seramai lapan gelandangan telah ditahan untuk menjalani ujian saringan air kencing oleh pihak AADK.

“Daripada jumlah itu, seorang individu didapati positif dadah dan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.

"Tujuh lagi diserahkan kepada JKM untuk tindakan susulan serta intervensi kebajikan yang bersesuaian. Tiada kanak-kanak terlibat dalam operasi ini," katanya.

Selain penguatkuasaan, operasi turut melaksanakan kerja pembersihan dan sanitasi secara menyeluruh di lokasi terlibat bagi memastikan kawasan awam kembali bersih.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tindakan rutin MBI, selain mengambil kira aduan awam berkaitan kehadiran gelandangan di kawasan terbabit.

“MBI lebih kepada membantu pihak JKM dalam menguruskan isu gelandangan, termasuk memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya melalui pendekatan lebih berperikemanusiaan,” katanya.

Tambahnya, kerjasama strategik antara MBI, JKM dan AADK akan terus diperkukuh bagi memastikan isu sosial berkenaan dapat ditangani secara holistik dan berkesan.

“Usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya kawasan awam di bandar raya Ipoh kekal bersih, teratur dan kondusif untuk semua,” katanya.

Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat isu berkaitan gelandangan yang memerlukan tindakan lanjut.