KUALA NERUS - Minat mendalam terhadap dunia permotoran dan barangan vintaj mendorong seorang peniaga mengambil masa selama tiga tahun bagi mengumpul pelbagai koleksi barangan lama demi merealisasikan impian membuka sebuah kedai makan hipster berkonsepkan stesen minyak lama.
Pemilik Sea Punk Corner, Mohd Fakrie Mutai, 46, berkata, idea tersebut tercetus kerana ingin menampilkan kelainan buat pelanggan memandangkan kedai makan berkonsepkan klasik sudah terlalu banyak di pasaran.
Menurutnya, memori membesar dengan suasana stesen minyak di kampung sekitar 1980-an menjadi inspirasi untuknya memilih elemen yang diketengahkan di premis yang terletak di Seberang Takir itu.
"Proses membina kedai ini bermula pada Julai 2024, tapi usaha mengumpul barangan hiasan mengambil masa kira-kira tiga tahun. Kebanyakan barangan ini saya cari di media sosial, pasar karat serta merata tempat termasuk di Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.
"Barang paling sukar diperoleh adalah telefon awam. Ia antara barang terawal yang saya cari dan akhirnya ditemui di Besut selepas puas mencari di pelbagai lokasi lain," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya dalam bidang perniagaan, Mohd Fakrie yang berasal dari Seberang Takir berkata, dia mula menceburi dunia perniagaan sejak usia 27 tahun dengan mengusahakan kedai komputer di Bukit Tok Beng di sini.
Dia kemudian mengendalikan kedai makan Simpang Corner yang berkonsepkan hipster pada 2010 sebelum terpaksa ditutup pada 2020 akibat pandemik Covid-19 dan pengambilan semula tapak kedai.
"Selepas tiga tahun terhenti, saya bangkit semula dengan Sea Punk Corner. Sekarang kedai ini sudah beroperasi selama tujuh bulan.
"Walaupun belum mengadakan pembukaan secara rasmi, sambutan pelanggan amat menggalakkan termasuk daripada pelancong asing dan masyarakat tempatan," ujarnya.
Mengulas mengenai menu yang disediakan, Mohd Fakrie mengekalkan citarasa tempatan Seberang Takir seperti nasi dagang, nasi minyak, nasi lemak, nasi goreng style rumah dan keropok lekor bagi menyesuaikan dengan konsep kedai lama.
Katanya, lebih istimewa, kesemua hidangan di kedai tersebut dimasak sendiri oleh ibu dan isterinya, Asiah Ngah, 44, bagi menjamin kualiti dan rasa yang asli.
"Setakat ini saya mempunyai 10 pekerja dan premis ini mampu memuatkan kira-kira 60 pelanggan dalam satu-satu masa. Cabaran utama buat masa ini pekerja yang silih berganti.
"Setakat ini, walaupun terkesan dengan kenaikan harga diesel, kami masih mengekalkan harga sedia ada dan belum menaikkan harga barangan," jelasnya.
Sea Punk Corner beroperasi dari jam 7.30 pagi hingga 2 petang dan ditutup pada setiap Ahad.
Bagaimanapun, Mohd Fakrie berkata, beliau merancang untuk memanjangkan waktu operasi sehingga jam 7.30 malam.
"Akan datang saya terfikir untuk buka kedai bermula jam 7.30 pagi sampai 7.30 petang bagi memberi pilihan yang lebih kepada pengguna.
"Strategi pemasaran kini giat dijalankan menerusi platform media sosial seperti TikTok dan Facebook bagi menarik lebih ramai pengunjung dari luar Terengganu," katanya.