Karnival JMU 2026 KPT pastikan tiada keciciran dari IPT

Iklan
Dr Azlinda (tiga dari kanan) merasmikan JMU 2026 Zon Utara di UUM, Sintok, Kedah. Turut hadir Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed (dua dari kanan). Gambar kecil: Bakhari Che Mohamed Ariff

KARNIVAL Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung dari 29 Januari hingga 26 April 2026 dengan tema “DreamX: Inspiring Your Next Step” menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk mendekatkan maklumat pendidikan tinggi kepada rakyat, khususnya pelajar yang sedang merancang langkah paling penting dalam kehidupan akademik mereka.

Pelajar hari ini memerlukan maklumat yang tepat, bimbingan yang jelas dan akses langsung kepada institusi yang menawarkan peluang pengajian.

Iklan
Iklan

Atas sebab itulah, JMU 2026 tampil sebagai platform yang amat relevan kerana ia menghimpunkan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara dalam satu ruang yang mudah diakses oleh pelajar, ibu bapa, guru, kaunselor dan masyarakat umum.

Dr Azlinda (kanan) ketika hadir merasmikan JMU 2026.

Iklan

Sepanjang penganjurannya, JMU 2026 merangkumi sepuluh zon di seluruh negara, bermula di Zon Wilayah (Premier) di Putrajaya pada 29 Januari hingga 1 Februari, diikuti Zon Timur dan Zon Sabah I pada 7 hingga 8 Februari, Zon Tengah I pada 16 hingga 17 Mac secara dalam talian, Zon Utara dan Zon Sarawak I pada 11 hingga 12 April, Zon Selatan dan Zon Sabah II pada 18 hingga 19 April, serta Zon Sarawak II dan Zon Tengah II pada 25 hingga 26 April.

Susunan ini memperlihatkan kesungguhan KPT untuk memastikan pendedahan terhadap peluang pendidikan tinggi tidak tertumpu di satu kawasan sahaja, sebaliknya digerakkan secara menyeluruh agar manfaatnya sampai ke seluruh pelosok negara.

Iklan

Kekuatan JMU 2026 juga terletak pada pengisiannya yang komprehensif. Program ini bukan sekadar menghimpunkan reruai pameran, tetapi menawarkan sesi konsultasi UPUOnline®, khidmat nasihat mengenai biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan, konsultasi penajaan, interaksi langsung bersama wakil institusi, campus tour, aktiviti alumni, persembahan pelajar, ruang interaktif, aktiviti keusahawanan dan pelbagai lagi pengisian yang dekat dengan keperluan generasi muda.

Dr Azlinda ketika berucap merasmikan JMU 2026.

Hakikat ini ditegaskan dengan jelas oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman ketika merasmikan JMU 2026 Zon Utara di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah semalam.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Karnival JMU bukan sekadar sebuah program tahunan, tetapi merupakan wadah strategik negara dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi secara inklusif dan menyeluruh.

Dalam kata lain, katanya, karnival ini ialah instrumen strategik untuk merapatkan jurang maklumat, memperluas peluang dan memastikan lebih ramai anak muda tidak tercicir daripada arus pendidikan tinggi.

Dr. Azlinda turut mengingatkan bahawa dunia hari ini sedang melalui perubahan yang sangat mendalam.

Karnival JMU 2026 anjuran KPT di UUM Sintok dengan tema"DreamX: Inspiring Your Next Step”.

Beliau menegaskan bahawa kita sedang berada dalam era perubahan besar iaitu Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan transformasi hijau sedang membentuk semula landskap pekerjaan dan kehidupan.

"Dalam konteks ini, pelajar tidak lagi boleh memilih bidang pengajian berdasarkan ikut-ikutan, persepsi luar atau kecenderungan semasa semata-mata. Sebaliknya, mereka perlu dibimbing untuk mengenal pasti laluan pendidikan yang benar-benar selari dengan minat, bakat, potensi dan realiti masa depan," katanya.

Sebab itu beliau menegaskan bahawa “maklumat yang tepat dan bimbingan yang jelas menjadi amat penting agar para pelajar dapat membuat keputusan yang bijaksana dan berpandangan jauh.”

Sehubungan itu, beliau turut mengangkat peranan ibu bapa dan guru sebagai pembimbing utama kepada anak-anak dalam membuat keputusan pendidikan.

Pesan beliau amat bermakna: “Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa dan guru sebagai pembimbing yang memberi panduan, bukan tekanan; memberi dorongan, bukan perbandingan.”

Beliau juga berkongsi angka yang memberangsangkan tentang minat anak muda terhadap pendidikan tinggi.

Menurut beliau, jumlah permohonan UPUOnline® yang diterima bagi kategori lepasan SPM ialah 238,524 calon manakala bagi kategori lepasan STPM/setaraf pula 112,488 calon, menjadikan keseluruhan 351,012 permohonan berbanding 379,578 calon yang membeli nombor pin.

Seperti yang ditegaskan oleh beliau, angka ini jelas menunjukkan bahawa minat dan kepercayaan yang tinggi dalam kalangan generasi muda terhadap peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi masih lagi tinggi.

"Ini ialah petunjuk penting bahawa pendidikan tinggi masih kekal sebagai impian besar anak muda Malaysia dan terus dilihat sebagai wahana mobiliti sosial yang utama," katanya.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed, dalam ucapannya pula turut menegaskan bahawa JMU ialah “platform terbaik bagi pelajar lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, STAM, dan Diploma dan yang setaraf dengannya bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang permohonan ke pendidikan tinggi.”

Beliau memaklumkan bahawa lebih 74 buah sekolah dari Perak hingga Perlis telah mengesahkan kehadiran ke karnival tersebut manakala hampir 70 pempamer membuka reruai masing-masing bagi memberikan informasi berkaitan peluang pendidikan tinggi kepada lebih 20,000 pelajar dan ibu bapa.

Penyertaan pempamer yang luas turut memperkukuh lagi nilai JMU Zon Utara.

Kehadiran pelbagai universiti awam, institusi swasta, politeknik, kolej komuniti, MARA BPT dan agensi seperti PTPTN, JPA, BSN, MQA serta KPM membolehkan mereka membandingkan pilihan institusi dan program secara terus, malah boleh memahami aspek pembiayaan, kebolehpasaran dan hala tuju kerjaya dengan lebih jelas.

Ringkasnya, program ini membuktikan bahawa apabila kerajaan, universiti, agensi, sekolah, ibu bapa dan pelajar bergerak dalam satu landasan yang sama, maka pendidikan tinggi boleh menjadi sesuatu yang boleh dicapai, difahami dan dirancang.

Seperti yang diungkapkan oleh Dr. Azlinda, JMU ialah jambatan harapan yang menghubungkan cita-cita anak bangsa dengan masa depan pendidikan tinggi negara.

*Bakhari Che Mohamed Ariff ialah Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Universiti Utara Malaysia (UUM)