Geng Borhan tumpas, JIM tahan 27 individu termasuk dalang

Iklan
Operasi dijalankan Pasukan Taktikal Khas Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama JIM Kelantan.

KOTA BHARU – Taktik sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan laluan persisiran pantai, sebelum menjadikan rumah sebagai lokasi transit terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas pada Rabu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula kira-kira jam 6.30 pagi itu dijalankan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama JIM Kelantan.

Iklan
Iklan

"Dalam operasi tersebut, dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘receiver’ ditahan sebelum pasukan operasi menjalankan serbuan susulan ke sebuah premis kediaman yang dijadikan rumah penampungan.

"Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket selain dua lagi lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Antara individu yang ditahan JIM dalam serbuan pada Rabu.

Zakaria berkata, pihaknya turut menahan 22 warga asing membabitkan dua lelaki warga India, tiga lelaki warga Bangladesh serta 17 warga Myanmar terdiri daripada lapan lelaki dan sembilan wanita.

Iklan

"Kesemua yang ditahan berusia antara 13 hingga 42 tahun menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 27 individu," katanya.

Beliau berkata, JIM turut menyita beberapa dokumen perjalanan termasuk pasport Bangladesh, India dan Myanmar selain telefon bimbit pelbagai jenama serta lima kenderaan dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

"Siasatan mendapati sindiket berkenaan membawa masuk PATI melalui laluan pantai sebelum ditempatkan di rumah penampungan, dan kemudian dihantar ke lokasi sekitar Lembah Klang oleh ‘transporter’," katanya.

Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai mengenakan bayaran RM100 bagi setiap individu untuk perkhidmatan penghantaran manakala ‘receiver’ menerima bayaran RM250 bagi setiap seorang.

"Difahamkan, sindiket yang dikenali sebagai 'Geng Borhan' itu masih aktif menjalankan kegiatan sama walaupun dalangnya pernah ditahan sebelum ini," katanya.

Zakaria berkata, seramai lima lelaki tempatan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

"Manakala 22 warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua warga asing terbabit dibawa ke Pejabat Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.

Zakaria menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung sebarang aktiviti mencurigakan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara," ujarnya.