The Obscura inisiatif kurangkan kemalangan hidupan liar di Batu Ferringhi - LPP

Iklan
Jo Leen (kiri) bersama pembantunya menunjukkan jambatan lalulintas hidupan liar yang terdapat di Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pada sidang akhbar pada Rabu.

GEORGE TOWN – Pembinaan jambatan laluan lintas hidupan liar dikenali sebagai The Obscura di Batu Ferringhi menjadi inisiatif terbaharu bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya melibatkan haiwan, khususnya monyet bandar di Pulau Pinang.

Jambatan berbentuk 'Artificial Road Canopy Bridge' sepanjang lebih 15 meter itu merupakan yang ketiga dibina di negeri ini, sekali gus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti di kawasan bandar yang semakin terjejas akibat pembangunan.

Iklan
Iklan

Pengasas dan Ketua Langur Project Penang (LPP), Dr Yap Jo Leen berkata, pembinaan laluan lintas tersebut bertujuan utama mengurangkan insiden kemalangan hidupan liar yang sering berlaku apabila haiwan melintas jalan raya untuk mencari makanan atau bergerak dalam habitat masing-masing.

“Selain itu, jambatan ini juga bertujuan menggalakkan konsep hidup bersama antara manusia dan hidupan liar yang semakin kerap berlaku di kawasan perumahan dan pelancongan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi pemasangan The Obscura di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, The Obscura dinamakan sempena nama saintifik spesies lutong kelabu, Trachypithecus obscurus, yang sering disalah faham dan kurang diberi perhatian walaupun memainkan peranan penting dalam ekosistem.

Katanya, lokasi Batu Ferringhi dipilih kerana kawasan tersebut dikenal pasti sebagai laluan aktif hidupan liar termasuk monyet, tupai, reptilia dan burung yang kerap melintas jalan, selain turut merekodkan kes kemalangan melibatkan haiwan.

Iklan

“Pemilihan lokasi dibuat berdasarkan data kajian selama sekurang-kurangnya setahun melibatkan pemerhatian tingkah laku haiwan, corak pemakanan serta interaksi dengan manusia.

“Kita juga mengambil kira faktor keselamatan dan kesesuaian lokasi termasuk ruang pembinaan serta kerjasama dengan agensi kerajaan,” jelasnya.

Tambah beliau, pembinaan jambatan itu melibatkan kos sekitar RM32,000 merangkumi pelaksanaan pelan pengurusan trafik serta penggunaan peralatan khas.

“Sebelum ini, dua jambatan serupa telah dibina iaitu Ah Lai's Crossing di Teluk Bahang pada 2019 dan Numi's Crossing di Tanjung Bungah pada 2024,” katanya.

The Obscura di Batu Ferringhi menjadi inisiatif terbaharu bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya melibatkan haiwan khususnya monyet bandar di Pulau Pinang.

Menurutnya, hasil pemantauan menggunakan kamera, Ah Lai's Crossing merekodkan lebih 8,500 pergerakan lintasan hidupan liar melibatkan sekurang-kurangnya sembilan spesies termasuk lutong, kera dan tupai gergasi hitam.

“Sementara itu, Numi's Crossing pula mencatatkan lebih 800 lintasan.

“Bagi kedua-dua lintasan ini, sejak dibina, ia merekodkan lebih 8,500 lintasan hidupan liar melibatkan sekurang-kurangnya sembilan spesies termasuk lutong, kera, Sunda slow loris, musang, tupai gergasi hitam dan reptilia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jo Leen berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif sains masyarakat dikenali sebagai Bridge to Coexist yang diselaraskan oleh LPP dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, penaja dan agensi kerajaan negeri.

“Projek ini merupakan kesinambungan inisiatif Bridge to Coexist yang dilaksanakan sejak 2019 bagi menyediakan laluan selamat kepada hidupan arboreal melintasi jalan raya.”

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan jambatan tersebut bukan penyelesaian sepenuhnya kepada masalah kemalangan hidupan liar, sebaliknya langkah awal dalam usaha jangka panjang pemuliharaan.

“Jambatan ini tidak membantu semua kumpulan haiwan, tetapi ia memberi laluan selamat kepada kumpulan yang berada dalam kawasan habitat berhampiran.

“Lebih penting, ia menjadi platform pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga keseimbangan antara pembangunan dan alam semula jadi,” katanya.

Tambahnya, selain Pulau Pinang, jambatan laluan lintas hidupan liar turut dibina di Kinabatangan, Sabah dan Langkawi, Kedah.