ALOR SETAR – Sebuah premis industri di Kompleks Perniagaan Shahab Perdana di sini diserbu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) selepas dipercayai dijadikan sebuah sekolah untuk kanak-kanak warga Rohingya tanpa kebenaran.
Operasi yang dijalankan pada Khamis itu dilakukan susulan dakwaan yang tular di media sosial berhubung kewujudan sekolah berkenaan.
MBAS berkata, serbuan dilakukan bagi mengesahkan maklumat serta menilai pematuhan premis terhadap syarat penggunaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis industri itu disewakan kepada warga Rohingya dan digunakan sebagai sebuah sekolah yang menempatkan seramai 26 kanak-kanak warga Rohingya yang menetap di kawasan berhampiran.
"Siasatan turut mendapati setiap pelajar dikenakan yuran sebanyak RM100 sebulan.
“Bahagian Penguatkuasaan MBAS telah merekodkan butiran pemilik premis dan penyewa bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas MBAS, tindakan akan diambil terhadap kesalahan salah guna premis industri, manakala kes berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bagi menyiasat pengoperasian institusi pendidikan tanpa kebenaran.
Menurutnya, kes tersebut turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah untuk penelitian terhadap status permit warga asing yang terlibat.
"MBAS akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan semua premis di kawasan pentadbiran bandar raya itu mematuhi syarat penggunaan yang diluluskan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Tindakan ini penting bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara serta melindungi kepentingan masyarakat," ujarnya.