KAMPAR – Pemasangan pembahagi jalan sepanjang kira-kira 100 meter dicadang dilaksanakan di Kilometer 4, Jalan Kuala Dipang–Malim Nawar berhampiran Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah bagi mengelakkan kemalangan berulang di lokasi berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi berkata, cadangan itu susulan kejadian kemalangan membabitkan enam kenderaan pada 31 Mac lalu yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal cedera parah.
Menurutnya, satu lawatan ke lokasi kejadian diadakan bagi meninjau keadaan semasa termasuk aliran trafik, tahap keselamatan serta faktor yang berpotensi menyumbang kepada kemalangan.
"Sehubungan itu, saya telah mengadakan satu mesyuarat penyelarasan bersama wakil Jabatan Kerja Raya, Ketua Polis Daerah Kampar serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar bagi membincangkan langkah segera serta tindakan susulan yang bersesuaian.
“Hasil perbincangan, pemasangan pembahagi jalan dikenal pasti sebagai langkah penting bagi mengelakkan kenderaan memasuki laluan bertentangan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan serius," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Azlan turut mencadangkan pembinaan kawasan khas ‘drop-off’ di tanah milik kerajaan negeri bersebelahan sekolah seluas kira-kira 0.2 ekar bagi melancarkan aliran trafik.
Katanya, kemudahan itu penting bagi menyediakan ruang lebih selamat dan teratur kepada ibu bapa menurunkan serta mengambil murid.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar PDT Kampar mempercepatkan kerja pembersihan dan pengosongan kawasan berkenaan yang kini menempatkan beberapa struktur terbiar bagi membolehkan projek tersebut dilaksanakan segera.
Menurutnya, kedua-dua cadangan itu akan diperincikan oleh pihak JKR dan PDT Kampar dari aspek teknikal, pelaksanaan serta keperluan peruntukan.
“Saya berharap semua cadangan ini dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan segera demi keselamatan pengguna jalan raya khususnya murid sekolah dan penduduk setempat.
"Kerjasama semua pihak amat dihargai dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan dua kanak-kanak yang baru pulang dari sekolah cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di hadapan Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah, Malim Nawar di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.42 petang di Kilometer 4, Jalan Kuala Dipang–Malim Nawar.
TAMAT