KUALA NERUS - Majlis Sukan Politeknik (MSP) menganjurkan Polytechnic Sports Excellence Awards (PolySEA) 2025 bagi menghargai kecemerlangan atlet institusi itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pembangunan bakat sukan dalam kalangan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan agenda penting kementerian.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan, malah membuktikan pelajar politeknik mampu mengimbangi kecemerlangan sukan dan akademik secara syumul.
"Pembangunan bakat sukan pelajar TVET adalah antara agenda penting dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing serta mempunyai daya tahan tinggi," katanya ketika menyempurnakan majlis berkenaan di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Shamsuri Abdullah dan Pengerusi MSP, Azirin Abdul Aziz.
Sementara itu, Shamsuri dalam ucapannya menyifatkan PolySEA 2025 sebagai simbol semangat juang dan disiplin tinggi warga politeknik dalam memartabatkan pembangunan pelajar yang menyeluruh.
"Pencapaian ini mencerminkan keupayaan kita dalam menganjurkan acara berprestij selain menjadi simbol kesepaduan dan komitmen berterusan warga politeknik Malaysia," ujarnya.
Sebanyak 12 kategori anugerah yang disampaikan antaranya anugerah olahragawan, olahragawati, atlet harapan wanita, atlet harapan lelaki, atlet para terbaik, pasukan terbaik dan pengurus terbaik.
Majlis yang bermula jam 8 malam itu diserikan dengan gimik pelancaran, tayangan video montaj serta kemuncak acara iaitu penyampaian anugerah kepada atlet-atlet cemerlang PolySEA 2025.
Penganjuran tersebut diharap menjadi pemangkin kepada atlet politeknik untuk terus melakar kejayaan sekali gus memperkasakan budaya sukan sebagai elemen penting dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan pelajar.