ALOR GAJAH - Pada usia yang sepatutnya sudah boleh berehat, seorang warga emas terus tabah mengharungi kehidupan apabila perlu menjaga isteri strok serta menguruskan dua anak masih bersekolah termasuk seorang daripadanya autisme.
Warga emas itu, Mohd Nor Firdaus Abdullah, 68, berkata, dia yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai makan sebagai pembancuh air terpaksa berhenti kerja bagi memberi tumpuan penuh menjaga isterinya selain menguruskan keperluan harian anak-anak berusia 12 dan 7 tahun.
“Dengan keadaan sekarang, saya tidak boleh bekerja dan bergantung kepada bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bantuan tersebut digunakan untuk menampung perbelanjaan harian selain lampin pakai buang isteri dan wang saku sekolah anak-anak,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di rumah sewanya di Kampung Ayer Limau baru-baru ini.
Mohd Nor Firdaus berkata, keputusan memeluk Islam di Semenyih pada tahun 2007 menyebabkan dia dibuang keluarga dan terputus hubungan sehingga kini.
Dia yang berasal dari Kelantan berkata, bantuan diterima digunakan sebaik mungkin bagi menguruskan perbelanjaan harian termasuk kos sewa rumah RM250 sebulan dan bil utiliti.
“Bab makan, biasanya kami masak telur. Kalau ada duit lebih, beli ayam. Yang penting ada nasi, lauk tidak terlalu menjadi keutamaan kerana anak-anak juga tidak cerewet.
“Ada masa kawan-kawan membantu jika kami terputus kewangan. Walaupun hidup susah, selagi ada hayat, saya akan terus menjaga isteri dan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Asmaini Zainal Abidin, 44, berkata, dia mengalami strok sejak setahun lalu ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja selepas berasa tidak sihat seperti hendak demam.
“Saya memang ada penyakit darah tinggi, kencing manis dan asma. Pada hari kejadian, badan rasa tidak sihat seperti demam.
“Saya balik kerja awal dalam jam 11 pagi. Selepas pulang ke rumah terus rehat, keesokan paginya sekitar jam 6 pagi, saya dapati separuh badan tidak dapat digerakkan,” katanya.
Katanya, suaminya terpaksa berhenti kerja selepas dia sakit memandangkan keadaannya yang tidak boleh menguruskan diri dan anak-anak.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya prihatin dengan nasib keluarga berkenaan dan telah mengadakan gotong-royong bagi menceriakan sambutan Syawal keluarga tersebut.
Katanya, dana yang diperoleh hasil kutipan orang ramai digunakan untuk membeli keperluan dan perkakasan rumah bagi meringankan beban mereka.