Masih ramai suka langgar lampu isyarat, guna telefon ketika memandu - JPJ

Iklan
Azrin (kiri) ketika sidang akhbar ketika Operasi Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Ramal pada Ahad.

KAJANG - Melanggar lampu isyarat merah serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu antara kesalahan tertinggi direkodkan sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Operasi yang berlangsung dari 13 Mac hingga 29 Mac itu menyaksikan pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan hasil pemantauan intensif di seluruh negeri ini.

Iklan
Iklan

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, dua kesalahan berkenaan dikenal pasti sebagai antara paling kerap dilakukan pengguna jalan raya sepanjang tempoh operasi.

"Antara alasan yang sering diberikan oleh pesalah ialah tergesa-gesa selain tidak menyedari lampu isyarat telah bertukar merah sebelum bertindak memecut.

Iklan

"Penggunaan telefon bimbit ketika memandu juga masih berlaku walaupun telah banyak peringatan diberikan kerana ia boleh mengganggu tumpuan dan meningkatkan risiko kemalangan," katanya dalam sidang akhbar ketika Operasi Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi itu, seramai 334 anggota penguat kuasa telah ditugaskan bagi menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi strategik.

Iklan

"Sebanyak 45,140 kenderaan telah diperiksa dengan tindakan diambil terhadap 1,789 kenderaan.

"Secara keseluruhan, sebanyak 6,688 kesalahan direkodkan melibatkan pelbagai peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kesalahan lain yang turut dikesan termasuk lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada lesen memandu sah, tiada perlindungan insurans, kesalahan teknikal kenderaan serta kesalahan lebih muatan.

"Berdasarkan statistik operasi, kesalahan berkaitan lesen kenderaan motor mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti kesalahan teknikal serta kesalahan lain," katanya.

Dalam pada itu, Azrin berkata, tahap pematuhan kenderaan barangan terhadap larangan operasi menunjukkan peningkatan.

"Dalam operasi ini, hanya sembilan kenderaan didapati melanggar peraturan sepanjang tempoh berkenaan.

"Walaupun masih terdapat lori di lebuh raya, pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut berada dalam kategori yang dibenarkan seperti membawa barangan keperluan harian termasuk makanan, petroleum dan hasil pertanian,” katanya.

Tambah beliau, lori tanpa muatan juga dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

"Operasi khas itu turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan di lebuh raya utama, pemeriksaan di depoh bas dan terminal pengangkutan awam, selain rondaan di kawasan perindustrian serta lokasi berisiko tinggi.

"Sebanyak 15 kawasan dikenal pasti sebagai lokasi keutamaan pemantauan dengan kehadiran anggota JPJ setiap hari bagi memastikan kelancaran trafik," katanya.

Menurut Azrin, penguatkuasaan dilaksanakan secara terus di lapangan termasuk memberhentikan kenderaan di lokasi selamat sebelum notis atau kompaun dikeluarkan.

"Malah, kaedah penyamaran turut digunakan termasuk dalam bas ekspres bagi mengesan kesalahan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati kebanyakan pemandu bas ekspres mematuhi peraturan dan semakin peka terhadap kehadiran anggota penguat kuasa.

"JPJ Selangor akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan.

"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memandu secara berhemah demi keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya.