KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli dinasihatkan untuk bersara daripada politik selepas pelbagai pihak melabelkan beliau sebagai menteri yang gagal selain menjadi liabiliti kepada parti sendiri.
Aktivis politik, Faizan Mohd Nor berkata, bekas Timbalan Presiden PKR itu juga dikenali ramai sebagai ‘raja formula’ yang gagal dan ramai penyokong PH berasa tertipu dengan janji-janji Rafizi sebelum PRU15.
Iklan
Iklan
Menurutnya, semasa beliau memegang jawatan Menteri Ekonomi, Program Data Utama (PADU) juga merupakan program yang gagal di bawah beliau, dengan kos melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM85.27 juta.
“Eloklah Rafizi kembali ke dunia korporat berbanding terus melakukan kerja politik yang hanya menyerlahkan kegagalan beliau sebagai ahli politik,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Faizan berkata, kritikan beliau terhadap National Feedlot (NFC) menyebabkan Malaysia tidak mempunyai ladang ternakan lembu berskala besar dan masih bergantung kepada import dari luar negara.
Sebelum ini, ahli akademik, Profesor Dr Mohd Tajuddin Rasdi pernah mendakwa Rafizi sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) dan politik negara, manakala Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyifatkan Rafizi sebagai hipokrit.
Pengasas PKR, Lum Yong pula menyifatkan Rafizi sebagai menteri yang gagal, dan perkara itu turut disuarakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan baru-baru ini.