[VIDEO] 'Saya harap dapat kaki palsu secepat mungkin'

Iklan

KUALA KRAI -"Saya berharap dapat kaki palsu secepat mungkin."

Demikian luah pelatih ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Sayyid Iskandar Mohamad Azaha, 18, yang putus kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai-Chuchoh Puteri di sini pada malam 28 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Menurut pelajar tahun akhir kursus Diploma Teknologi Elektrik Kolej Vokasional Kuala Krai itu kini hanya mampu memanjatkan doa agar impian untuk aktif semula menjadi kenyataan.

"Saya seorang yang susah hendak duduk diam. Dalam keadaan sekarang tanpa sebelah kaki saya hanya mampu berdoa agar impian untuk berjalan semula menjadi kenyataan.

Iklan

"Alhamdulillah walaupun hanya mampu terlantar di atas katil hospital hampir sebulan, semangat saya untuk aktif semula sentiasa berkobar-kobar. Saya sangat rindu untuk berlatih serta beriadah yang merupakan rutin harian sebelum ini," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Anak ke tiga daripada enam beradik itu memberitahu, hingga hari ini dirinya tidak pernah terfikir dan menyangka akan menyambut Ramadan serta Syawal di hospital.

Iklan

Sayyid Iskandar bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan dan semangat daripada ahli keluarga, guru dan rakan-rakan.

Dia yang sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra selama beberapa minggu dan kini dipindahkan ke Hospital Kuala Krai bagaimanapun berkata, pengalaman tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya.

"Saya sangat bersyukur kerana setiap hari rakan-rakan dan guru tidak pernah jemu datang melawat.

"Terima kasih kepada semua, saya hampir terlupa sedang diuji. Saya tidak sempat bersedih kerana mereka sentiasa ada di samping termasuk ahli keluarga," katanya.

Sayyid Iskandar memberitahu, sepatutnya sekarang ini dirinya sedang menjalani latihan praktikal namun sebaliknya pula yang berlaku.

Malah, dia juga gagal menduduki peperiksaan akhir yang sepatutnya berlangsung pada 1 Mac lalu kerana dimasukkan ke hospital, tambahnya.

Sinar Harian pada 1 Mac lalu melaporkan seorang pelajar Kolej Vokasional Kuala Krai putus kaki kanan selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai–Chuchoh Puteri di sini pada 28 Februari.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Sayyid Iskandar dilaporkan parah dan telah diamsukkan ke di Hospital Sultan Ismail Petra.