PASIR MAS – Suasana raya di desa bertambah meriah apabila lebih 400 penduduk dan perantau Kampung Perangkap, Bunut Susu di sini berkumpul pada Syawal kelima bagi menyertai acara memancing Aidilfitri.
Lebih menarik, peserta daripada pelbagai peringkat usia hadir berbusana Melayu klasik, menjadikan program itu bukan sekadar pertandingan tetapi juga simbol kebersamaan dan cara unik meraikan hari raya dalam suasana kampung yang penuh warna-warni.
Perantau yang pulang ke kampung halaman tidak melepaskan peluang menyertai acara berkenaan, termasuk jurutera, Azhari Syukri, 43, yang kini menetap di Rawang, Selangor.
Anak jati Kota Bharu dari Kampung Petani, Kedai Lalat itu berkata, dia pertama kali menyertai acara berkenaan kerana kebetulan pulang beraya di kampung asal isterinya, Suria Hazleen Yahya, 43.
“Dah lebih 20 tahun menetap di luar dan apabila ada acara sebegini, rasa rugi kalau tak ambil bahagian.
“Tahun lepas tak sempat sertai sebab dah balik semula Selangor. Tahun ini saya ajak isteri sekali memancing,” katanya ketika ditemui di tali air di sini, pada Rabu.
Menurutnya, pengalaman memancing bersama pasangan di kampung sendiri memberi kenangan berbeza berbanding aktiviti biasa di bandar.
“Saya juga seronok hari ini bangun awal pakai semutar dan ikat kain pelikat pada pinggang, macam orang dulu-dulu.
“Saya pun minat memancing dan tempah enam batang joran diperbuat daripada batang salak oleh penduduk yang berharga RM3.50 setiap satu,” katanya.
Dalam pada itu, sepasang warga emas tetap bersemangat menyertai acara memancing Aidilfitri walaupun berkerusi roda dan memakai tiub kencing.
Abdullah Nor, 79, yang menghidap sakit prostat memakai tiub kencing tersebut sejak empat tahun lalu dan bergerak menggunakan motosikal elektrik manakala isterinya, Siti Aminah Abdul Samad, 73, menghadapi masalah lutut serta saraf namun datang mengail di tali air tersebut dengan kerusi roda elektrik.
Abdullah berkata, walaupun dalam keadaan bergerak perlahan-lahan, dia tetap bersemangat menyertai acara itu kerana anak-anaknya memberikan sokongan dengan menyediakan kail yang diperbuat daripada batang salak.
“Saya sertai acara ini setiap tahun sebab memang meriah dan untuk memberi sokongan kepada penduduk kampung.
“Anak-anak pun bantu siapkan joran serta pasangkan umpan cengkerik untuk mengail di tali air hadapan rumah kami ini,” katanya
Sementara itu, Siti Aminah berkata, sakit lutut yang dialaminya memaksanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak, namun dia tetap tidak mahu melepaskan peluang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan.
“Rasa gembira melihat anak-anak pulang ke kampung dan berkumpul beramai-ramai.
“Walaupun tidak mendapat ikan, peluang mengimbau kenangan lama memancing bersama suami ketika muda amat bermakna,” katanya.
Siti Aminah berkata, adiknya, Mariam, 66, yang menetap di Sweden dan pulang ke kampung untuk beraya, turut bermurah hati menaja tiga buah basikal sebagai hadiah cabutan bertuah.
“Penduduk kampung juga bergotong-royong menyumbang pelbagai hadiah yang banyak dan lumayan,” katanya.
Acara masuk tahun keempat
Sementara itu, pengerusi penganjur, Mohd Kharil Azamin Mohamad berkata, program anjuran penduduk tersebut kini memasuki tahun keempat penganjurannya dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Permintaan memang tinggi, ramai perantau minta supaya diteruskan setiap tahun. Kami buat ini secara gotong-royong dengan tajaan penduduk kampung.
“Acara ini bukan sekadar memancing, tapi ruang untuk orang kampung dan perantau berkumpul,” katanya.
Katanya, sebanyak 120 ekor ikan termasuk puyu, keli, haruan dan tilapia dilepaskan di tali air sepanjang kira-kira 200 meter sebagai cabaran kepada peserta.
“Peserta hanya dibenarkan menggunakan joran tradisional seperti batang pokok salak, kelapa sawit dan buluh,” katanya.
Acara turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api dan cabutan bertuah menjadikan suasana seperti karnival kecil.
Tambahnya, pemenang membawa pulang barangan elektrik dengan keseluruhan hadiah termasuk cabutan bertuah dianggarkan bernilai RM6,000.
“Antara kategori dipertandingkan ialah tangkapan paling awal, tangkapan terbanyak, ikan paling berat serta tangkapan paling unik, selain pemenang turut menerima sampul duit raya,” katanya.