Kembalikan roh ziarah pada Syawal

Iklan
WALAUPUN berjauhan, usahakan untuk menziarahi sanak-saudara dalam menjaga silaturahim dan ukhuwah. Foto Canva/Gambar kecil: DR KHAIRUL HAMIMAH (atas) dan DR ZAIZUL (bawah)

Memori beraya keliling kampung sepatutnya tidak dilupakan, diwarisi kepada anak-anak

MASIH segar dalam ingatan, ada yang mengayuh basikal, ada yang berlari-lari kecil, bersama-sama menelusuri lorong kampung, baju baru berbau kedai, sekumpulan kanak-kanak yang tidak kenal erti penat mahupun malu.

Kita menziarah rumah jiran dan rumah cikgu, malah rumah orang yang kadangkala kita sendiri tidak tahu namanya. Tiada soal kenal atau tidak.

Iklan
Iklan

Tuan rumah yang membuka pintu itu terus menyambut dengan senyuman serta bertanya: “Anak siapa ni? Masuk, masuk.” Soalan mudah, tetapi penuh kehangatan.

Kita pun menjawab seadanya, kadangkala tergagap-gagap menyebut nama ayah atau ibu. Tuan rumah ketawa kecil, terus menghidang kuih, terus berbual, soalan orang tua kepada kanak-kanak yang tidak pernah kehabisan topik.

Iklan

Kita dilayan sepenuh hati, seolah-olah telah lama dikenali. Jujurnya, niat asal kita pada waktu itu sederhana sahaja, mengumpul duit raya sebanyak mungkin.

Itulah Syawal yang kita warisi pada waktu itu. Syawal yang kini perlahan-lahan semakin hilang rohnya.

Iklan

Ziarah yang pudar

Hari ini, Syawal masih disambut dengan meriah. Juadah masih berlambak, baju baru masih dipakai, rumah terbuka masih diadakan.

Namun sesuatu telah berubah di sebalik keramaian itu, sesuatu yang tidak kelihatan pada mata, tetapi terasa pada jiwa.

Ziarah kini terhad kepada mereka yang dikenali sahaja. Saudara mara yang tinggal bersebelahan rumah pun tidak semestinya hadir.

CIPTALAH kenangan indah bersama ahli keluarga dan saudara-mara ketika hari raya. Foto Canva

Ada yang datang pun tidak lama. Duduk sebentar, mata mencuri pandang ke skrin telefon, kemudian berlalu pergi. Ada pula yang menghulur duit raya di pagar, terus berpaling, selesai dan tugasan raya dianggap sempurna.

Konsep tak kenal, tak perlu ziarah hampir sebati dalam minda masyarakat tanpa kita sedar. Kita sudah selesa dengan sempadan yang kita sendiri bina.

Ziarah itu ibadat

Islam tidak pernah meletakkan syarat mesti kenal dulu sebelum menghulur tangan persahabatan. Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH agar kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)

Persaudaraan dalam Islam tidak dibina atas perkenalan semata-mata. Persaudaraan dibina atas iman yang dikongsi bersama. Selagi seseorang itu Muslim, selagi itulah dia merupakan saudara kita dan saudara tidak memerlukan kad jemputan untuk disambut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, ziarah pada Syawal bukan sekadar tradisi turun-temurun yang boleh diketepikan begitu sahaja.

Ziarah ialah ibadat, penyambung nadi ukhuwah Islamiah yang tanpanya, masyarakat kita akan terus rapuh dari dalam walaupun nampak kukuh dari luar.

Duduk bersama, namun berjauhan

'Pencuri' keakraban Syawal hari ini bukan sahaja kesibukan atau jarak geografi. Musuh terdekat ialah gajet yang tidak pernah jauh dari tapak tangan kita.

Kita hadir dari segi jasad, tetapi fikiran kita jauh berkelana di dunia maya. Perbualan yang sepatutnya hangat digantikan dengan bunyi notifikasi. Wajah yang sepatutnya bertatapan langsung, tunduk ke skrin masing-masing dan tersenyum sendirian.

Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin mengingatkan bahawa hati yang lalai mudah dipengaruhi oleh kelazatan duniawi yang sementara.

Gajet bukannya musuh, namun kehadirannya mencuri momen kebersamaan yang tidak ternilai itu dan menjadi penghalang antara kita dengan rahmat Syawal yang sebenar.

Syawal bukan sekadar perayaan. Syawal merupakan musim menyuburkan kembali benih-benih kasih sayang yang mungkin layu sepanjang tahun.

AMALAN ziarah-menziarahi merupakan amalan mulia yang patut diwariskan kepada anak-anak. Foto Canva

Benih itu tidak akan tumbuh subur jika kita hadir dengan mata ke bawah dan hati di tempat lain. Tiba masanya berubah Tidak perlu menunggu keadaan sempurna untuk kembali kepada amalan yang mulia ini.

Syawal masih panjang. Pintu masih boleh diketuk. Salam masih boleh dihulur walaupun kepada jiran yang namanya kita sendiri belum tahu.

Beranikan diri melangkah masuk. Seperti kanak-kanak ketika itu yang berlari tanpa rasa segan, tanpa mengira kenal atau tidak, tanpa menghitung pulangan. Mereka hadir dengan hati yang terbuka dan itulah sebenarnya inti ziarah yang Islam ajarkan.

Saudara tidak memerlukan alasan untuk hadir, tidak memerlukan keberanian yang luar biasa untuk mengetuk pintu dan tidak memerlukan jemputan rasmi untuk menyambung tali persaudaraan yang ALLAH SWT sendiri perintahkan untuk dijaga.

Mungkin di situlah letaknya jiwa Syawal yang selama ini kita rindukan. Bukan pada mercun. Bukan pada juadah. Bukan pada sampul duit raya. Tetapi pada langkah kaki yang berani mengetuk pintu dan hati yang ikhlas terbuka untuk menerimanya.

***PROF MADYA DR KHAIRUL HAMIMAH MOHAMMAD JODI merupakan pensyarah Fakulti Sains Sosial, Open Universiti Malaysia dan PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia