TEHERAN – Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran melancarkan gelombang ke-83,operasi ketenteraan Janji Benar 4 pada awal pagi Jumaat, dengan menyasarkan pelbagai aset strategik milik Amerika Syarikat (AS) dan Israel menggunakan peluru berpandu serta dron canggih.
Menurut kenyataan rasmi, operasi itu dilaksanakan sebagai tindak balas berterusan terhadap serangan yang didakwa dilakukan oleh gabungan AS–Israel, selain didedikasikan kepada rakyat di kawasan selatan negara tersebut.
Serangan berkenaan dilaporkan menyasarkan beberapa lokasi penting termasuk depoh minyak dan tangki simpanan bahan api di Ashdod, kemudahan ketenteraan di penempatan Modiin serta pusat pertukaran maklumat ketenteraan milik AS di rantau berkenaan.
Selain itu, pasukan berkenaan turut mendakwa menyerang pangkalan tentera AS di Al-Dhafra dan Al-Udeid, serta kemudahan penyelenggaraan pesawat pengangkut dan dron di Pangkalan Udara Ali Al-Salem.
Sasaran lain termasuk tangki bahan api pesawat pejuang serta hangar penyelenggaraan sistem peluru berpandu Patriot di Pangkalan Sheikh Isa.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa operasi tersebut menggunakan gabungan sistem persenjataan moden, termasuk peluru berpandu jarak jauh dan sederhana, bahan api pepejal serta cecair, selain keupayaan serangan tepat dan hulu ledak berganda.
Dron berani mati dan dron rondaan turut digunakan dalam serangan berkenaan.
Pasukan itu mendakwa operasi tersebut berjaya sepenuhnya, selain menegaskan bahawa serangan berterusan telah memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk Israel, termasuk keperluan berlindung di tempat perlindungan akibat amaran siren yang kerap.
Operasi ketenteraan ini dilaporkan bermula selepas serangan yang didakwa dilancarkan oleh gabungan AS–Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu, yang menurut Teheran mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khamenei, beberapa pegawai kanan tentera serta ratusan orang awam termasuk kanak-kanak.
Sementara itu, jurucakap angkatan tentera Iran, Brigedier Jeneral Abolfazl Shekarchi, mendakwa tentera AS kini terpaksa meninggalkan pangkalan mereka dan berlindung di kawasan awam seperti hotel.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tanda kelemahan, selain menuduh AS menggunakan kawasan awam sebagai perlindungan ketenteraan.
Dalam perkembangan berasingan, tentera Iran turut melancarkan serangan dron ke atas sasaran strategik di pelabuhan Haifa, termasuk kemudahan penyelenggaraan kapal tentera laut dan stor simpanan bahan api pesawat perang.- Agensi