MIC kekal dalam BN bukti kesetiaan, kematangan politik - Zambry

Iklan
Zambry. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Keputusan MIC untuk terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai manifestasi kesetiaan serta kematangan politik yang tinggi.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keputusan yang dicapai oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu jelas, tegas dan berpandangan jauh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendirian tersebut bukan sekadar keputusan politik semasa, sebaliknya mencerminkan akar sejarah serta semangat perjuangan yang telah terbina sejak era Perikatan (1955–1973) sebelum diperkukuh melalui BN sejak 1974 hingga kini.

"Dalam tempoh panjang ini, gabungan ini telah melalui pelbagai ujian, daripada cabaran perkauman, tekanan politik, hinggalah kepada perubahan landskap nasional, namun BN masih kekal bertahan kerana asasnya adalah kepercayaan, kesetiaan dan tanggungjawab bersama.

Iklan

"Keputusan untuk kekal bersama BN juga mempunyai justifikasi yang kukuh dan rasional termasuk aspek kestabilan serta kesinambungan, kekuatan muafakat pelbagai kaum, keupayaan untuk memperbaharui diri serta menolak politik perpecahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, MIC membuat keputusan untuk mengekalkan status quo dan kekal bersama BN buat masa ini susulan perubahan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN).

Iklan

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, apabila keputusan untuk meneroka potensi kerjasama dengan PN dibuat semasa Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) parti tahun lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi Pengerusi PN.

Saravanan bagaimanapun berkata, dengan Pas kini menerajui gabungan pembangkang susulan pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN bulan lepas, MIC perlu menilai sentimen masyarakat India sebelum membuat sebarang keputusan.

Zambry berkata, rakyat memerlukan platform yang stabil dan berpengalaman dalam keadaan politik yang semakin berpecah dan tidak menentu.

"BN telah membuktikan kemampuannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik, menjadikannya satu wadah yang masih relevan," ujarnya lagi.

Selain itu, katanya, kekuatan muafakat pelbagai kaum amat penting untuk memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.

Beliau berkata, BN juga menunjukkan keupayaan untuk memperbaharui diri melalui proses penstrukturan semula serta pengukuhan organisasi agar lebih responsif terhadap kehendak rakyat masa kini.

Dalam masa sama, menurutnya, keputusan tersebut menghantar isyarat jelas bahawa prinsip kebersamaan dan solidariti tidak boleh digadai demi kepentingan jangka pendek.

Justeru, Zambry menegaskan, usaha memperkemaskan BN akan terus dipergiatkan dan sebarang cubaan untuk melemahkan gabungan itu mampu ditangani sekiranya semangat kesatuan dipertahankan secara jujur dan ikhlas.

"Keputusan ini bukan hanya tentang hari ini, tetapi tentang masa depan bahawa politik yang berteraskan kesatuan, kesederhanaan dan tanggungjawab masih mempunyai tempat yang penting dalam membina Malaysia yang lebih stabil dan sejahtera," tegasnya.