KUALA TERENGGANU – Seorang graduan kejuruteraan elektrik dari Universiti Malaya (UM) memilih untuk meninggalkan kerjaya dan bekerja sebagai penjaga di sebuah pusat jagaan warga emas bagi memastikan ibunya sentiasa di depan mata.
Amni Syafiqah Yahya, 27, yang merupakan anak tunggal dari Sungai Tong, Setiu nekad melepaskan kerjayanya di Subang Jaya, Selangor selepas hanya enam bulan bekerja apabila ibunya, Khalijah Mahmood, 64, diserang strok akibat saluran darah pecah pada 2023.
Menurutnya, langkah itu diambil memandangkan dia kini satu-satunya tulang belakang keluarga selepas bapanya meninggal dunia.
"Saya tiada pilihan lain. Ayah sudah meninggal dunia pada 2022 dan sebagai anak tunggal, tanggungjawab ini sepenuhnya di bahu saya apabila ibu tidak lagi memberikan respons selepas dua minggu jatuh sakit.
"Selepas mendapat maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya memohon untuk bekerja di Pusat Jagaan Laman Budi Kasih ini dengan syarat saya dibenarkan membawa ibu tinggal bersama," katanya ketika ditemui di Bukit Besar, di sini pada Rabu.
Menurut Amni Syafiqah, pengorbanan itu menuntutnya untuk menguruskan pemotongan gaji sendiri bagi menampung yuran bulanan ibunya di pusat berkenaan dan dalam masa yang sama menggalas tugas menjaga penghuni warga emas yang lain.
Menceritakan keadaan ibunya yang kini terlantar, beliau mengakui adakalanya emosinya terusik melihat insan tersayang itu hanya mampu memberikan reaksi melalui titisan air mata.
"Pernah sekali saya perdengarkan lagu raya, saya nampak ibu mengalirkan air mata. Walaupun tiada kata-kata, reaksi itu sudah cukup membuktikan ibu 'ada' dan merasai kehadiran saya di sisinya," ujarnya.
Tambahnya lagi, meskipun terpaksa melupakan impian dalam bidang kejuruteraan yang dipelajari selama empat tahun, beliau tidak pernah menyesal kerana mahu membalas jasa ibunya yang dahulu bekerja keras sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan tukang jahit demi membesarkannya.
"Ibu besarkan saya dengan penuh susah payah. Sekarang masa untuk saya pula menjaga dia sehingga ke akhir hayat. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa," katanya lagi.
Buat masa ini, keluarga mereka mereka dibantu melalui bantuan bulanan RM200 daripada JKM serta sokongan keperluan lampin pakai buang dan susu daripada Tabung Darul Iman yang diperbaharui setiap tiga bulan.