'Harga emas masih berpatutan, takut esok naik lagi'

Iklan
Kedai emas di sekitar Kuantan masih menjadi tumpuan. Gambar kecil dari kiri: Mohd Akram dan Julihayati.

KUANTAN - Kedai emas di sekitar daerah ini masih menjadi tumpuan walaupun harga semasa emas 916 difahamkan kembali naik hampir RM30 pada Rabu.

Difahamkan harga semasa bagi emas 916 di sini RM567 berbanding RM539 pada Selasa.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai emas yang beoperasi dalam pusat membeli-belah di sini mendapati kaunter kedai emas dipenuhi pelanggan, malah ada yang terpaksa beratur menunggu giliran.

Rata-rata pelanggan ditemui mengakui agak terlambat merebut peluang membeli emas pada harga rendah beberapa hari lalu, namun bagi mereka harga emas semasa ketika ini masih berpatutan.

Iklan

Suri rumah, Julihayati Jaafar Sidek, 35, agak kecewa apabila mendapati harga emas kembali naik berbanding harga semasa pada Selasa.

Dia sudah meninjau harga emas semalam namun tidak sempat membelinya.

Iklan

"Hari ini saya datang semula untuk pilih dan beli tapi harga emas nampaknya sudah naik sedikit berbanding semalam.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk beli emas di sekitar Kuantan.

"Saya tetap beli ketika harga masih berpatutan ini, esok lusa naik lagi," katanya.

Julihayati dari Johor Bahru merebut peluang membeli emas ketika bercuti sempena Aidilfitri di sini.

Sementara itu, Mohd Akram Mohd Nor, 40, berkata, harga emas yang rendah ketika ini peluang terbaik untuk tukar beli barang kemas lama.

Dia yang sedang bercuti merebut peluang itu dengan menemani isteri ke sebuah kedai emas di sini.

"Cadangnya hendak 'trade-in' barang kemas lama tapi dengan harga yang masih rendah hari ini mungkin juga akan beli barang kemas baharu.

"Ini masa terbaik untuk membeli emas sebagai pelaburan kerana harga emas rendah bukan selalu.Cuma hari harganya sudah naik, tak sangka ingat masih seperti semalam" kata jurutera pesawat ini.

Bagi Adnin Hana, 28, yang sudah lama berhasrat untuk membeli emas beranggapan ketika ini peluang terbaik untuknya berbuat demikian.

"Memang dah rancang, allhamdulillah kebetulan harga emas jatuh jadi saya gunakan wang simpanan untuk beli emas hari ini.

"Agak terkilan tak beli masa harga emas jatuh menjunam baru-baru ini, mungkin tiada rezeki tapi harga hari ini pun masih dikira rendah lagi. Esok lusa belum tahu lagi," ujarnya.

Sementara itu, pengawal keselamatan, Mohd Izat Amer Mohd Rudzeesam, 26, berkata, kedai emas tempatnya bertugas diserbu pelanggan sejak seminggu sebelum hari raya hingga kini.

"Orang ramai memang menunggu peluang ini untuk beli emas.

"Walau bagaimanapun keadaan terkawal yang mana pelanggan dapat memilih barang kemas kesukaan mereka dan membeli dengan harga lebih murah.

"Hari ini orang ramai masih datang, cuba bilangannya tidak seramai beberapa hari lalu, mungkin ramai yang sudah kembali bekerja," katanya.