IPOH – Di sebalik tugas mencabar memadam kebakaran dan menyelamat nyawa, anggota bomba di Meru Raya juga punya sisi kreatif apabila menghasilkan video komedi di TikTok yang kini mencuri perhatian ramai.
Idea penghasilan kandungan media sosial tersebut tercetus selepas pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya melihat video dari luar negara yang memaparkan sikap kumpulan individu yang merumitkan kerja mudah.
Ketua BBP Meru Raya, Akmar Hisham Basor berkata, timbul idea untuk menghasilkan versi tempatan dengan acuan sendiri dengan mesej berkait rapat nilai integriti dalam kehidupan seharian.
"Kami lihat situasi yang dipaparkan itu sebenarnya ada kaitan dengan sikap individu dalam dunia sebenar yang mana perkara mudah jadi rumit disebabkan sikap sendiri.
"Di situlah nilai integriti memainkan peranan yang sebenarnya menjadi amalan penting dalam mana-mana jabatan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun sektor swasta,” katanya kepada Sinar Harian.
Bertitik tolak daripada idea itu, Akmar Hisham berkata, pasukan berkenaan menghasilkan versi parodi dengan sentuhan anggota bomba, sekali gus menampilkan kelainan melalui perubahan watak dalam jalan ceritanya yang lebih segar dan menghiburkan.
Tambah beliau, rakaman dan suntingan dibuat ketika waktu rehat atau ketika tidak bertugas dan penghasilan kandungan tersebut bukanlah satu cabaran besar berbanding menjalankan operasi menyelamat.
"Kandungan ini sekadar hiburan dan dirakam ketika kami off duty dan sudah tentu kami gembira melihat reaksi penonton,” katanya.
Sehingga kini, akaun TikTok Bomba Meru Raya mengumpul lebih 118,000 pengikut dan jumlah tontotan lebih 3.8 juta.